ROZMAN (tengah) bersama para peserta perarakan tanglong di Jalan Tenaga.
LABUAN: Parti Warisan Bahagian Labuan menganjurkan festival Tanglung dan Kuih Bulan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang diadakan di Jalan Tenaga di sini pada Ahad lalu.
Ketua Parti Warisan Bahagian Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, penganjuran festival Tanglung dan Kuih Bulan sebagai usaha parti itu untuk menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Labuan.
“Selain itu penganjuran festival ini juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum.
“Pada masa yang sama festival ini juga dapat mengetengahkan semula perarakan tanglung dikalangan generasi muda” katanya kepada pemberita selepas melancarkan festival berkenaan di Jalan Tenaga.
Sebahagian daripada tanglong yang direka cipta oleh para peserta yang mengambil bahagian dalam festival tersebut.
Rozman yang juga mantan Ahli Parlimen Labuan berkata, Malaysia merupakan sebuah nergara berbilang kaum yang meraikan pelbagai perayaan tradisi dan telah menghasilkan bukan saja semangat perpaduan dikalangan rakyat pelbagai kaum tetapi juga menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni.
Jelas Rozman, festival Tanglung dan Kuih Bulan perlu diketengahkan dan dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan kerana ia mampu menarik pelancong dari dalam dan luar.
Selain perarakan tanglung festival itu dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dan pertandingan kreatif dan inovasi membuat tanglong dan pertandingan mewarna kanak kanak.