Kawasan kiri dan kanan bahu jalan yang kerap menjadi tempat parkir pengguna jalan yang tidak bertanggungjawab
RANAU: Orang awam dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu kiri dan kanan jalan berhadapan stesen minyak Petron pekan Ranau yang juga bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan. St. Benedict, Ranau kerana boleh menimbulkan risiko kemalangan.
Pihak polis daerah ini mengeluarkan amaran tersebut melalui laman Facebooknya yang menggariskan beberapa sebab utama larangan itu dibuat.
“Salah satu tujuan larangan adalah untuk memastikan keselamatan trafik. Laluan keluar masuk stesen minyak sentiasa sibuk dengan kenderaan yang berhenti untuk mengisi minyak. Parkir di tepi jalan boleh menghalang pandangan dan menyukarkan pemandu lain.
“Kenderaan yang diletakkan di kedua bahu jalan itu juga mengundang bahaya kecemasan. Stesen minyak adalah kawasan berisiko tinggi kerana melibatkan bahan mudah terbakar. Kenderaan yang diletakkan sembarangan boleh mengganggu operasi kecemasan jika berlaku insiden.
“Ini juga akan mengganggu keselesaan pengguna jalan yang lain. Parkir tidak teratur menyebabkan kesesakan, terutama pada waktu puncak, dan menjejaskan kelancaran trafik di kawasan pekan,” jelas kenyataan tersebut.
Pihak polis menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang ingkar dengan peraturan tersebut. Pihak berkuasa boleh mengeluarkan saman atau tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan yang diletakkan di lokasi larangan.
Sehubungan dengan itu, pihak polis memberikan beberapa saranan alternatif seperti menggunakan kawasan “parkir” yang disediakan di sekitar pekan Ranau dan ikut papan tanda dan arahan penguatkuasa untuk mengelakkan kesulitan.
Langkah ini, jelasnya, bukan sahaja menjaga keselamatan diri, tetapi juga memastikan kelancaran trafik dan keselesaan semua pengguna jalan raya.



