HJ AHMAD (duduk tengah) bersama AJK Tertinggi PAPIM selepas mesyuarat itu.
KINARUT: Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Anak- Anak Kg Pimping di Kota Kinabalu (PAPIM) merancang tiga program awal untuk aktiviti persatuan itu tahun ini.
Pengerusinya, Haji Ahmad Dipong berkata buat permulaan menjelang bulan Syaban, PAPIM akan meneruskan Kenduri Arwah (Manitir) pada 8 Feb depan di Anjung D Soka Cafe Kinarut selepas solat Asar.
Program tahun kedua anjuran PAPIM ini akan disertai oleh seluruh ahli-ahli PAPIM dan keluarga mereka yang menetap di ibu negeri.
” Sebagai aktiviti amal dan kebajikan kita akan berikan peluang semua ahli, orang perseorangan untuk bersedekah atau infak untuk majlis kenduri ini,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Pertama PAPIM 2025 di sini.
Haji Ahmad berkata ahli-ahli boleh menyampaikan sedekah mereka sama ada melalui sedekah wang tunai atau masuk ke akaun PAPIM dan mewhataps resit sedekah kepada Bendahari PAPIM, Awang Kassim Hj Ismail.
Program kedua kata Haji Ahmad PAPIM akan melaksanakan Program Berkhatan ( bersunat) beramai-ramai untuk anak-anak ahli, cucu-cucu ahli sempena cuti sekolah pada Feb ini seperti yang dicadangkan oleh AJK PAPIM, Nor Hisham Narawi.
MESYUARAT ..Mesyuarat AJK Tertinggi PAPIM untuk 2025.
” Kita akan laksanakan program berkhatan ini untuk meringankan beban ibu bapa ahli-ahli PAPIM dan sebagai sebahagian aktiviti kebajikan dan amal PAPIM,” katanya.
Beliau berkata anak-anak, cucu-cucu ahli PAPIM yang berhajat untuk berkhatan sempena cuti sekolah ini perlu mendaftarkan diri dengan beliau, Setiausaha Agung, Ali Hussein Matnoor atau mana-mana AJK PAPIM.
Haji Ahmad berkata PAPIM juga akan mengadakan Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 seperti yang dicadangkan oleh Penaung PAPIM yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Hj Arif di Dewan Saadah Wisma Muis semasa ucapan beliau merasmikan Penutupan Program Baurung- Urung dua minggu lepas.
” Tarikh sambutan hanya akan kita tetapkan pada mesyuarat persediaan induk tidak lama lagi nanti,” katanya.
Terdahulu Hj Ahmad dan seluruh AJK Tertinggi PAPIM mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi Program Baurung-Urung PAPIM 2024, Nor Isham Narawi kerana kejayaannya bersama AJKnya melaksanakan program itu dengan cemerlang di Pantai Pimping pada 25-12-2024 lalu.
Haji Ahmad berkata sambutan diluar dugaan yang penuh meriah itu mendorong PAPIM untuk meneruskan aktiviti yang dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan tahun ini lagi.
” Kita akan tambah baik lagi acara-acara dalam Program Baurung-Urung tahun ini agar ianya lebih meriah dan menarik lagi,” katanya.
Sementara itu Hj Ahmad mengingatkan ahli-ahli yang belum menjelaskan yuran untuk berbuat demikian melalui Bendahari PAPIM.
Anak-anak Pimping yang menetap di Pantai Barat, dari Papar hingga Tuaran yang ingin menjadi ahli juga dialu-alukan dengan menghubungi Pengerusi, SUA,Bendahari atau pun AJK PAPIM.