31 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Papar Hab Pendidikan dan Pelancongan : Hj Yahiya

CALON Warisan N 29…Datuk Ir Haji Yahiya Awang Kahar

PAPAR: Pantai Manis salah satu konstituensi Parlimen Papar dilihat mampu dijadikan sebagai hab pendidikan berikutan kedudukan geografinya yang strategik antara ibu negeri Kota Kinabalu dan daerah-daerah di bahagian pedalaman Sabah.

Hab pendidikan bukan sahaja mampu membantu menonjolkan kerusi dewan undangan negeri Pantai Manis, tetapi juga berkeupayaan merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.

Itulah antara agenda yang akan diusahakan oleh Datuk Ir. Haji Yahiya Awang Kahar calon parti Warisan Sabah (Warisan) yang akan bertanding bagi kerusi DUN N29, Pantai Manis.

Berlatar-belakangkan profesionalisme dan kepimpinan dalam menerajui jabatan-jabatan kerajaan penting negeri Sabah selain pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs), Datuk Ir Haji Yahiya Ag Kahar dipilih oleh pucuk pimpinan parti Warisan untuk bertanding di kawasan Pantai Manis dalam persaingan lima penjuru.

Yahiya adalah seorang jurutera yang pernah diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai timbalan pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah (Pejabat Direktoriat – Pembangunan) dan Pengarah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Sabah.

Sebelum memangku jawatan pengarah di kedua jabatan itu, beliau pernah menjawat jawatan sebagai ketua penolong pengarah pemelihara jalan (Cawangan Lebuhraya JKR) dan ketua penolong pengarah (cawangan jalanraya).

Yahiya juga pernah menjawat jawatan jurutera di beberapa daerah seperti Tawau, Beaufort, Ranau dan Semporna.


Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Awam (B. Sc (Hons) in Civil Engineering) dari Swansee University, Wales dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Master of Business Adminstration – MBA) dari Waseda University, Tokyo, juga pernah menjadi ahli Lembaga Jurutera Malaysia.

Yahiya telah memegang beberapa jawatan penting di perigkat nasional – Presiden Malaysia Society Trenchless of Tunneling, Ahli Majlis Tertinggi Institutions of Engineers Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Jurutera Malaysia, Ahli Lembaga SEDCO PRECAST, Ahli Lembaga Pengarah Wisma Harta, Pengerusi Institution of Engineers (Cawangan Sabah) Yang DiPertua Persa tuan Kakitangan Islam JKR, Sabah.
Beliau juga pernah menjadi pengerusi Madrasah Masjid Negeri Sabah dan timbalan pengerusi Masjid Negeri Sabah.

Yahiya yang juga anak jati Pantai Manis adalah Ahli Lembaga Penasihat University Tunku Abdul Rahman Sabah sejak tahun 2015 sehingga kini.

HAJI Yahiya bersama pemimpin utama parti Warisan Papar. Turut kelihatan Setiausaha Parti Warisan Sabah (Warisan) Labuan, Roslee Awang Mulok (kanan sekali).

“Kita melihat Papar khususnya di Pantai Manis ini berpotensi untuk dijadikan sebagai hab pendidikan, dengan kedudukan geografinya…namun dalam kita mengorak langkah kearah pembangunan insan ini (human capital development), kita harus tidak leka untuk menerapkan kepentingan nilai-nilai rohani (spiritual value) dalam pendidikan.

“Sejauh mana pun seseorang itu berpendidikan tinggi tapi sekiranya nilai-nilai kerohanian itu tidak diterapkan dalam diri, lambat-laun pendidikan itu tidak mampu membatasi nilai diri seseorang” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Menurut Yahiya cadangan untuk mewujudkan pusat pengajian tinggi bertaraf universiti telah pun dibincangkan diperingkat negeri oleh Kerajaan Warisan sebelum ini, sebagai penambahan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sedia ada.

“Dalam erti kata, cadangan mewujudkan pusat pengajian tinggi ini bukanlah baru diutarakan hari ini, tetapi juga telah menjadi satu agenda pembangunan negeri jangka panjang…kita mahu Papar ini setaraf dengan daerah-daerah maju lain yang berdaya-maju dalam pembangunan pelbagai sektor ekonomi, pendidikan dan rohani serta sektor pelancongan.

“Dalam fokus pelancongan, yang sememangnya satu sektor mampu menjana ekonomi tempatan, harus juga diberi perhatian, Pantai Manis mampu ditransformkan sebagai tempat pelancongan riadah dan santai dengan identitinya sendiri.

“Kita perbanyakkan kemudahan asas (penginapan dan infrastruktur) untuk keselesaan pengunjung dan pelancong…juga mungkin wujudkan sukan laut santai di sepanjang Pantai Manis.

“Dan sudah semestinya pengunjung dan pelancong akan berkunjung ke kawasan-kawasan berhampiran, dimana kita boleh wujudkan lagi kluster ekonomi baharu (dikawasan berkenaan) untuk penduduk tempatan menjana ekonomi mereka,” katanya.

Yahiya yang mempunyai pengalaman menerajui Jabatan Kerja Raya turut berkongsikan aspek keperluan dan perhatian untuk melihat sistem jalanraya khususnya jalan-jalan kampung terus diperbaiki untuk kelesaan penduduk.

Manakala pengalamannya dalam memimpin Jabatan Pengairan Saliran boleh digunakan untuk menyelesaikan permasalahan banjir kilat di Pantai Manis ini.

“Kita sedar isu banjir kilat ini telah berterusan agak lama juga, namun…Kerajaan Warisan sebelum ini telah pun membincangkan secara terperinci bersama Ahli Parlimen Papar untuk menyelesaikan permasalahan ini, dan kita mengharapkan Warisan akan terus diberi mandat dan meneruskan usaha menyelesaikan isu ini yang memberi ketidakselseaan penduduk tempatan.

“Kita bertekad mahu melihat agenda pembangunan negeri di semua daerah dan kerusi dewan undangan negeri yang telah dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat oleh Kerajaan Warisan akan dapat kita teruskan dengan mandat rakyat,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN