24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PANDARAS Sumbang RM4,500 Bantu Kos Pembedahan Rostina

REMY menyampaikan sumbangan RM4,500 kepada Rostina.

RANAU: Persatuan Perpaduan Rumpun Etnik Sabah (Pandaras) menyampaikan bantuan RM4,500 bagi membantu pembiayaan pembedahan rawatan rahim seorang pesakit, Rostina Radin dari Kampung Lohan Ranau.

Timbalan Pengerusi Pandaras, Remzie Kisi bekata, bantuan berkenaan hasil pungutan derma daripada ahli dan orang ramai bagi meringankan penderitaan yang dialami oleh ibu kepada tiga orang anak itu.

Remy bergambar di hadapan rumah keluarga berkenaan

“Rostina menderita penyakitnya hampir setahun. Pembedahan yang sepatutnya diadakan di hospital kerajaan ditunda sebanyak tiga kerana situasi pandemik Covid-19.

“Ini menyebabkan beliau menanggung derita sakit dan kini bercadang mengambil inisiatif pembedahan di hospital swasta yang memerlukan kos sebanyak RM10,000,” katanya.

Remzie berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan wang berkenaan kepada Rostina di sini, hari ini.

Prihatin terhadap penderitaan yang dialami pesakit itu, Remzie memaklumkan Pandaras terpanggil untuk membantu sekali gus melancarkan pungutan derma kepada seluruh ahli dan orang ramai.

“Ini kerana keluarga Rostina termasuk suaminya tidak mempunyai pendapatan tetap menyebabkan mereka tidak mampu menampung kos rawatan pembedahan.

“Syukur pada hari ini kita berjaya menyampaikan sejumlah pungutan derma ini kepada Rostina,” katanya yang juga mesra dipanggil Remy.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pungutan tersebut hampir mencapai sasaran apabila status yang dimuatnaik di facebook Pandaras turut menerima perhatian orang ramai termasuk rakan-rakan Rostina.

“Hasilnya, saya difahamkan sejumlah RM4,200 turut berjaya dikutip melalui saudara mara dan rakan-rakan pesakit menjadikan jumlah dana rawatan yang terkumpul telah mencecah RM8,700.

“Rostina masih memerlukan RM1,300. Mereka yang ingin menderma boleh menghubungi Pandaras di talian 0146780164 atau datang terus berjumpa dengan keluarga Rostina di Kampung Lohan Ranau,” katanya sambil mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi ahli Pandaras.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN