PRESIDEN PAMULA, Mohd Syafiq (kiri baju hijau) bergambar bersama-sama AJK Pelaksana Program Agihan Bubur Lambuk.
LABUAN: Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA) telah mengadakan gotong royong memasak bubur lambuk untuk agihan sempena bulan Ramadan 2023 yang diadakan di Balai Raya Kampung Sungai Bangat, baru baru ini.
Seramai 45 AJK PAMULA, Skuad Sukarelawan YADIM Labuan serta penduduk Kampung Sungai Bangat bekerjasama dengan penuh muhibah menyediakan masakan bubur lambuk tersebut.
Sebanyak 500 pek bubur lambuk telah berjaya disiapkan dan edaran telah dibuat pada pukul 3 petang kepada penduduk Kampung Sungai Bangat, para asnaf dan anggota keselamatan di beberapa institusi di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengarah program, Hilmawan Halim berkata, objektif program adalah untuk mengeratkan hubungan antara ahli Pamula dengan masyarakat setempat.
Selain itu, katanya ia bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan orang ramai khususnya di bulan Ramadan pada tahun ini.
Hilmawan berkata kerjasama erat di antara Persatuan Anak Muda Labuan yang diketuai oleh Presidennya, Shafiq Zainol, Pengerusi Skuad Sukarelawan (YADIM) Labuan, Che Mohd Faizal Che Mad, Pengerusi Kumpulan Rukun Tetangga (KRT), Mahaini Ismail dan Pengerusi Surau Mubarakah, Ismail Mohamad serta penduduk Kampung Sungai Bangat ini telah memberi impak yang sangat baik kepada masyarakat di pulau bebas cukai ini.

BUBUR lambuk diagih kepada penduduk Kampung Sungai Bangat di Surau Mubarakah.
“Program ini telah banyak menerima respon yang positif daripada orang ramai dan semoga ia dapat diteruskan pada masa yang akan datang agar anak muda lebih aktif dengan aktiviti kemasyarakatan,”kata Hilmawan.
Hilmawan tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli PAMULA dan pihak lain yang bekerjasama menjayakan program murnin tersebut.
“Kami berharap menerusi program tersebut, hubungan baik antara PAMULA dengan masyarakat setempat akan berkekalan demi kesejahteraan dan perpaduan serta silaturrahim,
“Ini juga merupakan ruang dan peluang untuk golongan muda mendekati masyarakat,”katanya.
Malah, katanya, menerusi program tersebut, kerjasama erat dapat dijalinkan antara PAMULA dengan Skuad Sukarelawan YADIM Labuan dan penduduk Kampung Sungai Bangat.