JAHID (tengah) bersama ADO Tamparuli, Herman Tunggiging (dua kiri) dan Jilias (kiri) serta pemimpin masyarakat lain, ketika melawat ke Padang Pekan Tamparuli.
TAMPARULI: Padang Pekan Tamparuli bakal dilengkapi dengan lampu limpah yang akan memberi keselesaan bersukan pada waktu malam kepada penduduk di sini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pembinaan lampu tersebut dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat.
“Tidak lama lagi padang bola sepak Pekan Tamparuli bolehlah digunakan pada waktu malam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat ke padang pekan Tamparuli, dan bertemu dengan Kelab Bola Sepak RRB, hari ini, yang juga merupakan susulan daripada kunjungan hormat kelab kepada Jahid sebelum ini.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak dan Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.
Katanya, padang tersebut bakal dilengkapi dengan kemudahan lampu limpah (flood light) terkini dan sangat sesuai untuk permainan pada sebelah malam.
“Ini adalah percubaan kita untuk padang pertama di kawasan Tamparuli yang mempunyai lampu limpah, selepas itu barulah kita akan fikirkan kemudahan sama di kawasan yang lain pula,” katanya.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya ini dapat membantu merancakkan lagi aktiviti di pekan tersebut pada waktu malam terutamanya kawasan berhampiran padang.
Selain itu, Jahid berharap padang berkenaan dapat diselenggara secara berjadual dan berterusan bagi memastikan keselesaan kepada pengguna.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak kelab RRB yang kini mempunyai ratusan ahli untuk menjaga padang tersebut dengan harapan bahawa keceriaan dan kebersihan padang sentiasa terjaga.
“Kita telah maklumkan kepada semua pihak termasuk Majlis Daerah mengenai perkara ini, kerana selama ini tidak dinafikan bahawa Kelab RRB merupakan kelab yang begitu aktif menggunakan dan menjaga keadaan padang.
Terdahulu, Jahid turut meninjau perjalanan agihan bantuan bakul makanan ke kampung-kampung yang diselanggarakan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli bersama badan-badan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Dewan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli.