KOTA KINABALU: Penganjuran Oil & Gas Services and Equipment Conference & Exhibition Sabah 2026 (OGSE Sabah 2026) dijangka menjadi platform strategik bagi memperkasa agenda “Greater Participation” syarikat tempatan dalam sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE).
Program yang berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dianjurkan menerusi kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Sabah Oil & Gas Services Council (SOGSC) dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS), dengan sokongan agensi kerajaan negeri termasuk SMJ Energy serta rakan industri strategik lain.
OGSE Sabah 2026 dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa serta menghimpunkan kira-kira 200 pempamer merangkumi pelbagai segmen rantaian nilai industri minyak dan gas.
Antara objektif utama penganjuran ialah menyokong penyelarasan dasar antara kerajaan negeri, pengendali petroleum dan pemain industri selaras dengan pelaksanaan dasar kandungan tempatan (local content). Program ini turut mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan tenaga yang mampan, berdaya saing dan mesra pelabur, khususnya dalam pembangunan industri hiliran serta perkhidmatan sokongan minyak dan gas.
Selain mempamerkan keupayaan teknikal dan kapasiti syarikat OGSE tempatan kepada pengendali petroleum serta pelabur antarabangsa, penganjuran itu juga menjadi wadah perbincangan bagi penyediaan Pelan Hala Tuju OGSE Sabah Lima Tahun (2026–2030). Pelan tersebut akan merangka pembangunan kapasiti dan kapabiliti, memperkukuh kerjasama strategik serta memperluas pasaran syarikat OGSE Sabah.
Dalam usaha memastikan kesinambungan tenaga kerja mahir, OGSE Sabah 2026 turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pameran kerjaya, sesi perkongsian industri dan program padanan bakat. Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada generasi muda dan pelajar mengenai potensi kerjaya serta peluang keusahawanan dalam industri minyak dan gas.
Kementerian berkenaan komited untuk terus memperkukuh ekosistem industri minyak dan gas Sabah yang inklusif, kompetitif dan mampan selaras dengan agenda “Sabah First”, yang mengutamakan penyertaan syarikat dan tenaga kerja tempatan dalam keseluruhan rantaian nilai industri.
Pendekatan itu menekankan pembangunan lebih ramai usahawan OGSE Sabah yang berdaya saing serta berkeupayaan teknikal, di samping memperluas pegangan kontrak oleh syarikat tempatan secara lebih tersusun dan berimpak. Pada masa sama, inisiatif berkenaan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi kepada rakyat negeri ini, sekali gus memastikan limpahan ekonomi industri minyak dan gas diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi Sabah yang mampan dan menyeluruh.



