24 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Nutrisi seimbang boleh didapati dengan mudah: James

Jenddy (ketiga kiri) mewakili James hadir merasmikan di Tongod pada Khamis


TONGOD: Masalah kanak-kanak yang terdedah dengan pengambilan makanan yang tidak sihat boleh diatasi dengan kefahaman pendidikan tentang pemakanan sihat dan seimbang.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), merangkap Presiden Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS), Datuk James Bin Ratib berkata nutrisi seimbang sebenarnya boleh didapati di persekitaran tanpa memerlukan kos kewangan yang tinggi.


“Kita sedia maklum, terdapat kanak-kanak yang terdedah dengan pengambilan makanan yang tidak sihat samada melalui gaya hidup yang telah terbiasa mahupun kerana kekurangan pengetahuan tentang pemakanan di kalangan ibu bapa dan penjaga.


“Namun kita boleh mengatasi masalah ini dengan kefahaman pendidikan tentang pemakanan sihat dan seimbang. Nutrisi yang seimbang juga boleh didapati di persekitaran kita tanpa memerlukan kos kewangan yang tinggi.


“Banyak sumber alam di persekitaran kita yang boleh digunakan sebagai makanan asas yang bernutrisi dan seimbang bagi pertumbuhan badan khasnya kanak-kanak,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa Program Kasih dan Kongsi: Kem Nutrisi Kanak-Kanak Daerah Tongod melalui teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politiknya, Jenddy Sanggau, di SK Pekan Tongod, Khamis.


“Saya melihat sambutan yang begitu baik oleh Daerah Tongod terhadap program ini dan dengan ini saya ingin menyatakan penghargaan ini kepada semua ahli jawatankuasa program yang telah berusaha bagi tujuan menjayakan program ini,” katanya.


Tambah beliau, Program Kasih dan Kongsi: Kem Nutrisi Kanak-Kanak yang dianjurkan oleh MPMS dengan kerjasama Sektor Pemakanan-Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Tongod dan Pejabat Kebajikan Daerah Tongod adalah amat tepat dengan agenda Dasar Kanak-Kanak Negara, Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia dan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Program ini selaras dengan matlamat Negara untuk melahirkan kanak-kanak yang yang sihat, cergas, berilmu dan berdaya saing.


“Program Kasih dan Kongsi merupakan salah satu amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Kementerian saya kepada MPMS laksanakan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak.


“Program ini memberi penekanan bahawa terhadap kepentingan makanan seimbangan dan berzat untuk pertumbuhan dan perkembangan sihat di kalangan kanak-kanak,” katanya.


Justeru, James berkata, pek bantuan makanan yang diberikan kepada kanak-kanak perlu dielakkan kandungan snek tidak sihat dan sebaliknya mengandungi nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran sihat seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral.


“Kem Nutrisi Kanak-Kanak yang diadakan hari ini merupakan sebuah program komuniti yang menggabungkan tenaga masyarakat tempatan untuk memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat setempat tentang pemakanan sihat kanak-kanak.


“Program komuniti ini menunjukkan bertapa baik dan berimpak tinggi kolaborasi antara pelbagai Jabatan dan Agensi dalam mempromosikan agenda Sabah Sihat.


“Adalah harapan saya agar usaha ini berterusan dan pengetahuan pemakanan seimbang dapat meresap dalam norma harian yang dipraktikan dalam kehidupan seharian,” katanya.


James berbangga bahawa Kem Nutrisi ini telah berjaya diadakan di daerah Beluran, Telupid dan kini di Tongod, di mana penyertaan di daerah Tongod sahaja telah mencecah seramai 1,000 kanak-kanak, guru-guru dan ibubapa.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN