ADVERTISEMENTspot_img

Nizam: SUKMA platform penyatuan atlet

Nizam, Zainuddin dan Anil di Astaka menyaksikan acara perasmian SUKMA XXII Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam semalam.

Oleh: Vitalis G.Bingkasan

SHAH ALAM: Sukan Malaysia (SUKMA) terus membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam menyatukan atlet seluruh negara di samping memupuk semangat kesukanan dan silaturahim.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK)  Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kemeriahan yang ditunjukkan peserta dan penonton pada Majlis Perasmian SUKMA XXII di Dataran Kemerdekaan Shah Alam semalam jelas menggambarkan keunikan temasya tersebut.

“Walaupun skala dia sederhana tetapi tetap meriah dan kita dapat melihat daripada ‘body language’ semua peserta dan juga semua yang datang menyaksikan begitu meriah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor atas penganjuran temasya kali ini.

Kontinjen Sabah semasa lintas hormat SUKMA XXII Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainuddin Aman, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Dato’ Sri Anil Sandhu, Setiausaha Tetap KBSK Datuk Mansur Asun, Pengarah MSN Sabah Mohd Asneh Mohd Noor dan Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah Syed Ahmad Syed Abas.

Dalam pada itu, Nizam berharap Kontinjen Sabah dapat mempamerkan komitmen penuh sepanjang temasya berlangsung sehingga 24 Ogos ini.

Menurutnya, fokus dan semangat tinggi setiap atlet amat penting bagi merealisasikan sasaran pingat yang telah ditetapkan sejak peringkat persiapan.

“Saya yakin dengan persiapan yang telah dilakukan sebelum temasya, kontinjen Sabah mampu memberikan saingan terbaik dan membawa pulang kejayaan untuk negeri,” katanya.

Sabah mensasarkan  40 pingat emas menerusi penyertaan 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada sukan dwi tahunan negara berkenaan.

Keseluruhannya, SUKMA XXII Selangor 2026 yang menghimpunkan lebih 5,000 alet dari seluruh negara dan Brunei menawarkan  468 pingat emas.

Majlis perasmian semalam disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sharafuddin Idris Shah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN