SERAH….. Ahmad Saifudin (tiga dari kiri) menyerahkan enjin bot bantuan MAIWP kepada Jainal
LABUAN: Seorang nelayan dari Kampung Bebuloh di sini bersyukur dan menarik nafas lega apabila mendapat sebuah enjin bot yang baru bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di bawah Skim Bantuan Pertanian.
Majlis penyerahan bantuan tersebut disampaikan oleh Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Ahmad Saifuddin Haji Md Tahir kepada nelayan berkenaan Jainal Awang Damit di kediamannya di Kampung Bebuloh pada Selasa.
Ahmad Saifuddin berharap bantuan enjin bot bernilai RM6,000 itu akan dapat membantu sekaligus mengubah taraf ekonomi nelayan berkenaan.
“Sebelum ini beliau menghadapi masalah kerana enjin bot sering rosak dan kadang-kadang terpaksa meminjam enjin bot saudara mara atau menumpang dengan nelayan lain untuk menangkap ikan bagi menyara keluarga” katanya kepada media.
Jainal, 52, turut berterima kasih kepada MAIWP Labuan yang prihatin dengan keadaan nasibnya yang bergantung kepada sumber pendapatan hasil daripada tangkapan ikan untuk menyara keluarga.
Beliau yang mempunyai tiga orang anak masing-masing berumur 7, 5 dan 2 tahun menghadapi kesukaran untuk menyara keluarga memandangkan enjin bot yang sedia ada telah rosak sukar untuk diperbaiki dan tidak mampu untuk membeli enjin bot yang baru.