30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

NAFAS sentiasa melihat keperluan di setiap PPK, diberi bantuan sewajarnya

CENDERAMATA …Datuk Faimin (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Datuk Dr Abdul Rahman

RANAU: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sentiasa melihat keperluan-keperluan di setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang perlu diberi bantuan atau peruntukan yang
sewajarnya.

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Bakri, berkata NAFAS   tidak pernah melupakan 920,000 ahli khususnya dari segi menyuntik bantuan kewangan serta memperkasakan Pertubuhan Peladang untuk terus maju ke hadapan.

Beliau berkata, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, NAFAS mengambil pendekatan dinamik dalam memperkasa aktiviti ekonomi.

“Penekanan adalah kepada aktiviti-aktiviti pelengkap kepada aktiviti ekonomi dalam gerakkan Pertubuhan Peladang.

“Justeru, dalam memperkukuhkan gerakan Pertubuhan Peladang, selain bermula dari peringkat ahli itu sendiri, kita juga harus bermula diperingkat unit ahli sebagai kumpulan gerakan kecil peladang di bawah PPK”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke- 51, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu, di Dewan Masyarakat Ranau, di sini pada Khamis.

Salah seorang ahli PPK menerima anugerah disampaikan Datuk Abdul Rahman

Menurut Abdul Rahman, unit-unit peladang haruslah memainkan peranan yang aktif, dalam merencana
pembangunan pertanian di unit masing-masing khususnya mengenalpasti komoditi pertanian yang berpotensi dibangunkan.

“PPK memainkan peranan yang penting
dalam menjayakan agenda-agenda transformasi sektor pertanian. Dan di peringkat NAFAS sendiri juga telah mempunyai beberapa perancangan
antaranya; NAFAS akan meningkatkan pengeluaran ayam daging bersesuaian dengan permintaan di pasaran.

“Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri sendiri telah menyarankan supaya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menguasai rantaian industri penternakan ayam untuk menangani isu sekuriti makanan negara,” kata Abdul Rahman.

Beliau menjelaskan, NAFAS juga akan terlibat dalam industri penanaman jagung bijian yang merupakan bahan mentah bagi makanan ternakan ayam.

“Kita telah melihat beberapa Kawasan yang berpotensi untuk penanaman jagung
bijian.

“Dalam hal ini, PPK juga bolehlah mengambil peluang dengan menjalinkan kerjasama perniagaan dengan NAFAS sekaligus dapat menjana pendapatan PPK. Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan PPK dan NAFAS,” katanya.

KENANGAN… Datuk Dr.Rahman (tengah) merakam gambar bersama Hadriyani, Faimin , Erwan dan barisan AJP PPK Kinabalu.

Abdul Rahman yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, berkata peranan dan kerjasama semua peringkat amatlah penting bagi menjayakan  pergerakan Pertubuhan Peladang. 

“Pegawai- pegawai di PPK, Ahli Jemaah Pengarah serta ahli-ahli perlu berganding bahu dalam memantapkan organisasi PPK ke arah yang lebih mapan.

“Saya mahu melihat PPK bergerak lebih
proaktif dalam menjana pendapatan PPK
sekaligus dapat bersama-sama NAFAS
dalam merancakkan industri pertanian,” tambah Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyaksikan gimik pelancaran Sistem e-Data PPK Kinabalu yang baharu saja dibangunkan

Turut diadakan ialah penyampaian anugerah kepada ahli-ahli dan kakitangan PPK Kinabalu dan penyampaian bantuan NAFAS kepada PPK Kinabalu berjumlah RM5,000.00.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Puan Hadriyani Binti Ahmad, Pengerusi AJP PPK Kinabalu, Datuk Haji Faimin Kamin, Pegawai Daerah Ranau Jumain Abdul Ghani, Pengurus Besar PPK Kinabalu, Mohd Erwan Moruji dan semua AJP PPK Kinabalu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN