SUMBANGAN: Bungso menerima replika cek RM29,000 daripada Zamri (dua dari kanan) sambil diperhatikan Catherina.
LABUAN: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyarankan Pertubuhan Peladang Kawasan Wilayah Persekutuan Labuan (PPKWPL) untuk terlibat secara langsung dalam meningkatkan projek peternakan ayam daging dan telur bagi memenuhi keperluan masyarakat Labuan.
Pengerusi, Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Dato’ Haji Zainal Yaakob berkata, Labuan merupakan sebuah pulau yang tidak mempunyai tanah yang luas untuk projek pertanian, namun berdasarkan pemerhatian PPN di sini boleh meningkatkan atau membesarkan projek penternakan ayam daging dan telur bagi memenuhi keperluan penduduk Labuan yang berjumlah lebih 80,000.
“NAFAS akan mencari jalan dan memainkan peranan membantu PPK untuk membesarkan projek-projek penternakan ayam yang ada di pulau ini.
“NAFAS juga akan membantu PPK Labuan dalam membesarkan projek ayam telur bagi menampung keperluan masyarakat di sini yang selama ini bekalannya bergantung dari luar Labuan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Wilayah Persekutuan (PPNWP) kali ke 15 Tahun 2022 yang diadakan di Dewan Serbaguna Lembaga Pertubuhan Peladang Wilayah Persekutuan Labuan di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah, PPN Wilayah Persekutuan, Haji Bungso Haji Mohamad dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Wilayah Persekutuan Labuan, Catherina Edward.
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan bantuan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang (MAT PP) bernilai RM29,000 kepada PPN Wilayah Persekutuan.
Selain itu beliau juga turut menyampaikan anugerah cemerlang kepada dua anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) masing masing kepada Azlan Abdul Rahman (lantikan PPN) dan Leo Stanley Pilin (anggota LPP).
Terdahulu sebelum itu, Zamri bersama Bungso telah melawat pameran produk yang dihasilkan oleh PPN Wilayah Persekutuan.