ROHANA selaku moderator mengajukan beberapa soalan kepada Hassan sempena Program Bicara Tokoh Bersama Lagenda Bola Sepak Negara, Datuk Hassan Sani.
LABUAN: Muzium Labuan menganjurkan Bicara Tokoh bersama Lagenda Bola Sepak Negara, Datuk Hassan Sani yang diadakan di Anggerik Square, Ujana Kewangan Labuan, pada Sabtu.
Pengarah Muzium Labuan, Rohana Husin berkata, program tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Sukan Negara 2022 dengan menampilkan tokoh sukan yang juga ikon bola sepak negara, Datuk Hassan Sani bagi berkongsi pengalaman beliau sepanjang pembabitannya dalam arena kegemilangan bola sepak negara pada era 70-80 an.
Selain itu katanya, program tersebut sebagai pemberi semangat kepada golongan muda untuk terus berusaha dan berjaya dalam bidang sukan sekaligus dapat mengharumkan nama negara dipersada dunia.
Dalam waktu yang sama katanya, pihak muzium dapat mengangkat sejarah sukan negara khususnya bola sepak kepada orang ramai.
“Pihak Muzium akan sentiasa mengadakan program bicara serta pameran khas yang lain dengan menampilkan lebih ramai tokoh tokoh lain yang banyak memberikan sumbangan dan jasa kepada negara” katanya selepas ditemui pada program tersebut.
Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA), Sophian Said serta beberapa atlit sukan anak jati Labuan yang pernah mengharumkan nama Labuan dan negara pada era tahun 70an seperti Koh Chan Lee, Zaleha Ismail dan Halimah Jamil.