Ghani (kedua dari kanan) menerima cenderahati daripada Jasri.
NABAWAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin memberi sumbangan dana kewangan kepada Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) berjumlah RM15,000.00.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) mengumumkan sumbangan itu semasa berucap merasmikan Kejohanan Olahraga Peringkat MSSD Pensiangan yang berlangsung di Kompleks Sukan di sini baru-baru ini.
Katanya, sumbangan membantu meringankan beban kos pengurusan kontinjen MSSD Pensiangan ke kejohanan olahraga MSSN di Tambunan nanti.
Selain itu beliau turut memaklumkan akan memberi insentif dalam bentuk kewangan kepada atlet yang mendapat pingat emas, Perak dan gangsa sama ada berpasukan dan individu.
“Ini adalah galakan dan penghargaan kita kepada atlet-atlet yang berjaya dan seterusnya mewakili MSSD Pensiangan ke kejohanan olahraga MSSN Peringkat Negeri” jelasnya.
Ghani berkata, beliau sentiasa membantu pembangunan sukan sama ada diperingkat sekolah dan mana-mana persatuan sukan di daerah ini.
Pada masa Ghani berharap supaya atlet yang akan mewakili daerah ke kejohanan olahraga MSSN di Tambunan akan membawa cabaran dan meletakkan semangat juang yang tinggi dalam diri masing-masing.
“Saya dimaklumkan bahawa terdapat beberapa atlet dari beberapa sekolah di daerah ini yang pernah melakar nama dan mengharumkan nama daerah sehingga diperingkat antarabangsa” katanya.
Beliau berharap agar pada musim ini ada juga yang berjaya membawa nama daerah ini ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang sukan.
Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pensiangan Sektor Pelancongan Murid Jasri Abdullah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Deckson Andipai, Timbalan-Timbalan PPD setiap sektor, para Pengetua dan Guru besar.



