25 C
Kota Kinabalu
Selasa, November 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

MPP tunjang pelaksana agenda kebajikan dan pemerkasa pelajar universiti: Taufiq

Taufiq ketika berucap merasmikan majlis.

KOTA KINABALU, 20 April – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) merupakan entiti yang menjadi tunjang kepada pelaksanaan agenda kebajikan dan pemerkasaan pelajar di universiti.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata,  ia juga sebagai proses pembelajaran dalam memperkasa daya kepimpinan sebagai seorang pelajar.

“Pemimpin pelajar harus sentiasa profesional, matang dan konstruktif dalam menzahirkan pandangan terhadap sesuatu isu.

“Perkara ini penting agar kepimpinan MPP UMS sentiasa dihormati dan mampu membawa rakan pelajar yang lain maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Watikah Pelantikan MPP UMS sesi 2021/2022, di sini, kelmarin (19 April 2021).

Menurut Taufiq, mandat dan kepercayaan yang diberikan harus dipikul dengan penuh tanggungjawab  sepanjang melayari bahtera kepimpinan pelajar.

Taufiq (dua kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Presiden MPP UMS, Eliezer Nevall Anthonny (kiri)  sambil disaksikan Raman (dua kiri) dan Raffie (kanan)

Katanya, pihak universiti memahami cabaran yang dihadapi pada masa kini.

“Sebagai anak muda, kita menyedari hakikat keterujaan dalam berhadapan dengan isu-isu pelajar mahupun isu nasional.

“Namun, semangat yang membara ini harus disalurkan dengan penuh berhikmah dan tidak beremosi.

“Gagasan idea yang bernas dan realistik harus diketengahkan agar apa juga strategi yang disusun dan direncana dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Taufiq berkata, di peringkat universiti pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan para pelajar sentiasa terjaga.

“Walau bagaimanapun, kewujudan MPP juga penting dalam menyalurkan maklumat agar inisiatif yang dijalankan mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Pihak pengurusan UMS sentiasa terbuka dalam menerima pandangan khususnya daripada MPP berkenaan isu-isu pelajar.

“Pada akhirnya, manfaat daripada kualiti kepimpinan ini akan dituai oleh anda dan rakan-rakan pelajar yang lain pada masa hadapan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS,  Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Raffie Hj. Janau, dan Presiden baharu MPP UMS, Eliezer Nevall Anthonny.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN