ALBUM…. Bashir (tengah), Fadilah bergambar kenangan bersama peserta Program Berkayak Pemimpin Keluarga Malaysia.
LABUAN:Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Subzon 5 Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Persatuan Kayak Wilayah Persekutuan Labuan menganjurkan Program Berkayak Pemimpin Keluarga Malaysia ke Pulau Papan sempena Hari Sukan Negara (HSN) yang diadakan baru-baru ini.
Program yang diadakan seawal jam 8 pagi itu telah dilancarkan perlepasan (flagoff) oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias.
Menurut Pengerusi MPP Subzon 5 yang juga pengerusi penganjur program, Fadilah Eddy Abd. Khalid, seramai 50 peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, belia dan masyarakat setempat telah menyertai program tersebut.
“Program berkayak yang bermula dari Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan menuju ke Pulau Papan dengan merentasi Laut China Selatan sejauh 9.5 kilometer itu telah diiringi oleh pasukan Polis Marin bagi memastikan keselamatan peserta” katanya.
Beliau berkata, antara lain program tersebut bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim pemimpin MPP dengan masyarakat selain menyokong aktiviti Hari Sukan Negara yang disambut serentak di seluruh negara.
“ Program ini juga secara tidak langsung mempromosikan Pulau Papan sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi” katanya.
Turut sama dalam menjayakan program itu ialah Pengerusi MPP Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Abdul Manan, Ketua Kampung Bukit Kuda, Madzan Yunus.