OLEH ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Wanita warga China, Zhau Ting, 28, yang cedera selepas paragliding dinaikinya bersama jurupandu terhempas dekat Kompleks Sukan Ranau di sini Jumaat lalu, mendapat perhatian dan simpati Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.
Jonathan meluangkan masa menziarahi mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH1) Kota Kinabalu.
Beliau yang bersimpati dengan insiden malang menimpa Zhau Ting, berharap agar mangsa cepat sembuh dari kecederaan yang dialaminya.
“Bagi pihak Kerajaan kita sampaikan mohon maaf atas kejadian yang berlaku dan akan berusaha sebaiknya agar pelancong China (mangsa) ini diberi rawatan yang terbaik,” katanya dalam satu catatan di Facebook pada Sabtu.
Jonathan turut berkesempatan bertemu dengan ibu Zhau Ting yang turut menziarahi anaknya, diiringi wakil syarikat pelancongan terbabit.
Dalam kejadian 2.20 petang pada Jumaat lepas, seorang wanita warga China dan jurupandu paragliding tempatan nyaris maut selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter berhampiran di Kompleks Sukan Ranau di Ranau.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, jurupandu paragliding, Yusof Mamat, 48, dilaporkan terseliuh kaki kanan manakala penumpang terbabit, Zhau Ting, patah tulang paha kanan.
“Kedua-dua mangsa diberi rawatan awal dan diangkat menggunakan pengusung ke laluan jalan raya sebelum dibawa menaiki EMRS untuk menerima rawatan di Hospital Ranau,” menurut kenyataan -TAMAT-