Kennedy Kelly Jupirit (kanan) menyampaikan sumbangan kewangan kepada Nurianah Jati bagi membantu kos rawatan anaknya yang sedang menjalani pemulihan selepas pembedahan lutut di Kampung Tudan Baru, Keningau.
KENINGAU: Semangat keprihatinan terhadap masyarakat terus dizahirkan apabila wakil MP Project menyampaikan bantuan kebajikan kepada keluarga yang memerlukan di sekitar daerah ini, termasuk membantu pesakit yang menjalani rawatan serta menziarahi keluarga yang sedang berduka.
Wakil MP Project, Kennedy Kelly Jupirit, telah menyampaikan sumbangan kewangan bagi pihak Pengerusinya, Moddy Patrick, kepada Nurianah Jati di Kampung Tudan Baru bagi membantu kos rawatan anaknya, Noorshyfika Melvin, yang sedang menjalani proses pemulihan selepas pembedahan lutut akibat kecederaan ligamen Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Noorshyfika sebelum ini menjalani pembedahan di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu selepas mengalami kecederaan serius pada lutut.
Menurut Kennedy, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban keluarga terutama dalam menampung kos rawatan serta keperluan sepanjang tempoh pemulihan pesakit.

Kennedy Kelly Jupirit bersama rombongan menziarahi keluarga mendiang Juliana Tirik @ Onong di Kampung Awas-Awas Labak, Bingkor sebagai tanda simpati dan sokongan kepada keluarga yang ditinggalkan.
Dalam perkembangan berasingan, Kennedy turut mengetuai rombongan menziarahi keluarga mendiang Juliana Tirik @ Onong di Kampung Awas-Awas Labak, Bingkor bagi menyampaikan sumbangan kebajikan serta memberikan sokongan moral kepada keluarga yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.
Ziarah takziah itu diadakan sebagai tanda simpati dan solidariti masyarakat kepada keluarga mendiang agar mereka terus tabah menghadapi ujian.
Sementara itu, Moddy turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi saat sukar.
Beliau berkata, usaha membantu dan menyantuni masyarakat yang memerlukan akan terus menjadi keutamaan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat di kawasan Keningau.



