Datu Mohammad Junaidi mewakili YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki
KUCHING: Kerjasama strategik antara Sanjung Etika Sdn Bhd dan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) diyakini mampu memperkukuh ekosistem perindustrian makanan Sarawak, di samping menjana manfaat ekonomi dan menyokong pembangunan pendidikan negeri.
Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh kolaborasi sektor awam dan swasta bagi memacu transformasi ekonomi serta pembangunan mampan Sarawak.
Beliau yang mewakili YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki Pengerusi Sanjung Etika Sdn Bhd, berkata MoU tersebut menjadi asas kepada pembentukan kerjasama strategik yang berteraskan inovasi, kecemerlangan operasi dan pertumbuhan perniagaan mampan bagi mewujudkan nilai jangka panjang.
“Sanjung Etika, sebagai anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak, bukan sahaja bertanggungjawab mencapai kecemerlangan komersial, malah diamanahkan menjana pulangan mampan bagi menyokong misi Yayasan Sarawak dalam memperluas peluang pendidikan dan membangunkan modal insan negeri.
“Setiap kejayaan perniagaan yang dicapai akan menyumbang kepada penyediaan biasiswa, bantuan pendidikan, pembangunan bakat serta pelbagai inisiatif yang memperkasa generasi muda Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian MoU antara Sanjung Etika dan KTC di sebuah hotel di sini, Isnin.
Beliau berkata kerjasama itu turut membuka laluan kepada penubuhan sebuah perusahaan pembuatan bakeri moden yang diperakui halal, sekali gus berupaya mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, merangsang inovasi industri serta menyokong pertumbuhan sektor pembuatan makanan Sarawak.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sekadar memberi tumpuan kepada aspek komersial, malah menjadi pemangkin pembangunan bakat menerusi program latihan industri, pemindahan ilmu, latihan amali dan peningkatan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi keperluan industri masa depan.
Beliau berkata usaha memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri juga sejajar dengan aspirasi Sarawak dalam memperkasa sekuriti makanan, pembangunan perindustrian serta daya tahan ekonomi negeri.
Mohamad Junaidi berkata kejayaan sesuatu kerjasama bergantung kepada kepercayaan, nilai bersama dan komitmen jangka panjang, sambil menyatakan keyakinan bahawa kolaborasi itu akan memberikan manfaat mampan kepada kedua-dua organisasi serta impak positif kepada rakyat Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, KTC, rakan strategik serta semua pihak yang menjayakan majlis berkenaan dan berharap MoU itu menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang mampu memperkukuh ekosistem industri negeri serta menyokong misi pendidikan Yayasan Sarawak demi masa depan yang lebih makmur, berdaya tahan dan mampan.



