Mewakili KTC(Dari kiri) Datuk Dexter dan Datuk Lau ketika menandatangani MoU bersama Sanjung Etika Sdn Bhd
KUCHING: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan Sanjung Etika Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak, bagi menubuhkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd.
Kerjasama itu bakal menyaksikan penubuhan syarikat usaha sama yang menggabungkan kepakaran Gardenia dalam industri pembuatan roti dengan peranan Yayasan Sarawak dalam pembangunan modal insan serta komuniti di negeri ini.
Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak komited untuk memuktamadkan Perjanjian Usaha Sama (JV) dan Perjanjian Pemegang Saham dalam tempoh tiga bulan akan datang sebelum operasi syarikat dimulakan secara rasmi.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek itu, KTC mengumumkan pelaburan awal berjumlah RM30 juta serta telah memohon tanah seluas 7.56 ekar daripada Kerajaan Sarawak bagi pembinaan kilang pembuatan roti Gardenia di negeri ini.
Projek berkenaan dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu, dengan keutamaan diberikan kepada graduan tempatan dan tenaga kerja mahir dari Sarawak.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, pelaburan berterusan syarikat di Sarawak sejak sedekad lalu membuktikan keyakinan terhadap potensi ekonomi dan kualiti modal insan negeri itu.
“Sepuluh tahun lalu, KTC memulakan operasi di Sarawak tanpa seorang pun pekerja tempatan. Hari ini, kami berbangga kerana mempunyai kira-kira 400 pekerja rakyat Sarawak, mewakili 32.5 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja KTC.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan sistem pentadbiran, pendidikan dan pembangunan modal insan Sarawak dalam melahirkan bakat yang berdaya saing untuk sektor swasta,” katanya ketika ditemui media pada majlis itu.
Menurut beliau, sehingga kini KTC telah melabur kira-kira RM300 juta di Sarawak, yang menyumbang pulangan tahunan sekitar RM400 juta, selain mengurus aset operasi dan perdagangan bernilai RM140 juta.
Katanya, impak ekonomi itu dijangka terus berkembang menerusi pembinaan kilang Gardenia yang akan memperkukuh rantaian bekalan, meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Selain itu, KTC turut merancang memperkenalkan produk dan pembungkusan khas Gardenia “Sarawak Edition” sebagai simbol penghargaan terhadap identiti, warisan budaya dan keunikan Sarawak.
Dalam pada itu, KTC menyatakan sokongan terhadap visi pembangunan ekonomi jangka panjang Kerajaan Sarawak, termasuk penubuhan Pejabat Hubungan Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Pontianak, Indonesia.
Menurut syarikat itu, platform tersebut berpotensi dimanfaatkan bagi meneroka peluang perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dengan menjadikan Sarawak sebagai hab operasi serantau.
KTC berharap pelaksanaan pelaburan RM30 juta itu dapat dipercepatkan menerusi sokongan berterusan Kerajaan Sarawak, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan keselamatan bekalan makanan, pertumbuhan ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat.



