Datuk Dexter Lau menyampaikan pandangan mengenai kepentingan memperkukuh asas perniagaan sebelum mendapatkan pembiayaan bagi tujuan pengembangan syarikat pada sesi forum Kembara Borneo 2026 – Sabah
KOTA KINABALU: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah perlu memperkukuh asas perniagaan, keupayaan pengurusan serta strategi pertumbuhan sebelum mendapatkan pembiayaan bagi menembusi pasaran nasional dan serantau.
Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah Datuk Dexter Lau berkata akses kepada modal sahaja tidak menjamin kejayaan sesebuah perniagaan tanpa disokong pelan yang jelas, pasukan pengurusan berkeupayaan dan pemahaman mendalam terhadap kedudukan kewangan syarikat.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Federation of Public Listed Companies Berhad (FPLC) dan Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) berkata usahawan perlu memahami hala tuju perniagaan serta keupayaan melaksanakan rancangan pertumbuhan sebelum mendapatkan modal tambahan.
“Anda mesti mempunyai pelan yang jelas,” katanya ketika berkongsi pengalaman dalam sesi panel Kembara Borneo 2026 – Sabah di sini hari ini.
Sesi bertajuk “Building Sabah’s Next Growth Champions: Capital, Scale and Market Access” itu dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Penasihat Pasaran Modal (CMAC) Tan Sri Andrew Sheng, dengan Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datin Paduka Azalina Adham turut menyertai perbincangan.
Dexter berkata usahawan tidak seharusnya terlalu tertumpu kepada usaha mendapatkan pembiayaan atau meniru kejayaan pihak lain, sebaliknya perlu membangunkan strategi yang sesuai dengan keupayaan, kekuatan dan cabaran masing-masing.
Menurut beliau, pelan perniagaan yang realistik serta disokong asas operasi yang kukuh akan meningkatkan keyakinan institusi kewangan, pelabur dan rakan strategik terhadap potensi sesebuah syarikat.
Beliau berkata pemilik perniagaan juga perlu menguasai angka kewangan masing-masing, termasuk sumber pendapatan, margin keuntungan kasar, kos operasi, kos pembiayaan dan keuntungan bersih, selain memahami kedudukan pesaing serta rangkaian perniagaan mereka.
Katanya, keupayaan mengekalkan tenaga kerja dan pasukan pengurusan yang stabil turut menjadi faktor penting dalam memastikan pertumbuhan syarikat dapat diteruskan tanpa menjejaskan operasi.
“Pelabur bukan sekadar melihat unjuran pertumbuhan atau jumlah modal yang ingin diperoleh, tetapi turut menilai konsistensi perancangan, kestabilan operasi dan keupayaan pengurusan melaksanakan strategi yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas pengalaman KTC membuat persediaan untuk penyenaraian awam, Dexter berkata proses itu melibatkan penelitian terperinci serta pelbagai penilaian dan pertanyaan daripada SC.
Walaupun mencabar, katanya, proses berkenaan mendorong syarikat menilai semula amalan perniagaan, memperkukuh kepimpinan dan menambah baik pengurusan operasi.
Beliau berkata pengalaman itu membantu membina organisasi yang lebih kukuh, selain menyediakan asas penting untuk pengembangan perniagaan secara berterusan, termasuk aspirasi pertumbuhan di peringkat serantau.
Menurut Dexter, penyenaraian awam bukan sekadar saluran untuk mendapatkan modal, malah berperanan memperkukuh disiplin korporat, akauntabiliti dan tadbir urus melalui struktur pengurusan yang lebih sistematik.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan usahawan Sabah memanfaatkan platform seperti Kembara Borneo untuk berinteraksi dengan pengawal selia dan profesional pasaran modal bagi memahami pilihan pembiayaan serta keperluan yang perlu dipenuhi sebelum mengembangkan perniagaan.
Katanya, pendedahan sedemikian membolehkan syarikat mengenal pasti kelemahan operasi, memahami jangkaan pelabur dan membina rangkaian industri yang dapat membuka peluang kerjasama baharu.
Sementara itu, Andrew menekankan kepentingan membina rangkaian hubungan dalam dunia perniagaan, sambil menyatakan bahawa syarikat dari Sabah berpeluang menghubungkan perniagaan mereka dengan pasaran global melalui kerjasama merentas industri dan rantau.
Kembara Borneo 2026 – Sabah anjuran SC dan Capital Markets Malaysia (CMM) bertujuan meningkatkan kesedaran PMKS dan syarikat pertengahan mengenai peluang pembiayaan melalui pasaran modal, memperkenalkan inisiatif yang menyokong pertumbuhan perniagaan serta mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, pelabur, perantara kewangan dan pemain industri.
Program itu turut menjadi platform bagi membantu syarikat tempatan membina kapasiti, meningkatkan daya saing dan memperkukuh daya tahan dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif.



