ADVERTISEMENTspot_img

Lawatan Sunduan Nabalu perkukuh usaha pembinaan Sekolah Adat Adu Dabaai di Keningau

LAWATAN TAPAK- Batu Keramat Adu Dabaai sebuah lokasi yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan kepada masyarakat setempat khususnya etnik Murut Nabaai.

Oleh: Paul Ukau

KENINGAU: Usaha merealisasikan pembinaan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Adu Dabaai di Keningau mendapat sokongan kepimpinan Sunduan Nabalu apabila delegasi 14 orang dari ibu pejabat pertubuhan itu mengadakan lawatan ke tapak cadangan sekolah berkenaan baru-baru ini.

Lawatan yang diketuai Presiden Masyarakat Adat Anak Negeri Sabah, Murung Vinangun Shalmon Sanagan, itu bertujuan meninjau perkembangan usaha pembinaan sekolah berkenaan, selain memperkukuh kerjasama dalam menyediakan pusat pendidikan berasaskan bahasa, adat dan warisan masyarakat Anak Negeri, khususnya etnik Murut Nabaai.

Delegasi turut mengunjungi Batu Karamat Adu Dabaai, sebuah lokasi yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan kepada masyarakat setempat.

Ketibaan rombongan disambut Presiden Pertubuhan Murut Nabaai Sabah merangkap Penasihat SAANS Adu Dabaai Keningau, Aki Mangkaunan Ir. Egbert Manjin, bersama Pengetua sekolah itu, Nuar @ Salamat Jaimi dan barisan tenaga pengajar.

Turut hadir Pengarah SAANS Zon Pedalaman Atas Keningau, Rozie Gitang dan Pengarah SAANS Zon Pedalaman Bawah Keningau, Agnes Andrew Bacon.

Sepanjang lawatan, delegasi diberikan penerangan mengenai perancangan pembangunan sekolah serta peranannya sebagai institusi pendidikan yang menggabungkan pengetahuan umum dengan pembelajaran bahasa, sejarah dan adat resam masyarakat Anak Negeri.

Shalmon menyambut baik inisiatif berkenaan yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada usaha bersama memastikan pengetahuan dan amalan tradisi terus diwariskan kepada generasi muda.

Menurut beliau, kewujudan institusi pendidikan adat penting bagi membolehkan generasi baharu memahami asal usul dan identiti masyarakat mereka dalam menghadapi perubahan sosial serta perkembangan pendidikan semasa.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kepimpinan masyarakat adat, pengurusan sekolah dan komuniti setempat bagi menjayakan hasrat pembinaan institusi berkenaan.

Sementara itu, Egbert berkata, pemilihan kawasan Adu Dabaai sebagai tapak sekolah mempunyai makna tersendiri kerana hubungannya dengan sejarah dan warisan masyarakat Murut Nabaai.

“SAANS Adu Dabaai berdiri di atas tanah yang penuh sejarah. Pembinaannya adalah bukti kita tidak melupakan asal usul — di sinilah anak-anak kita akan belajar menjadi bangsa yang beridentiti, berbudaya dan bermaruah,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan sekolah itu bukan sahaja berkaitan penyediaan kemudahan pendidikan, tetapi turut membawa tanggungjawab memelihara pengetahuan adat yang diwarisi turun-temurun.

Lawatan berkenaan turut memperlihatkan komitmen kepimpinan Sunduan Nabalu dan pengurusan SAANS Adu Dabaai untuk meneruskan kerjasama ke arah merealisasikan pembinaan sekolah tersebut.

Bagi masyarakat Murut Nabaai di Keningau, usaha itu diharap dapat menyediakan ruang pembelajaran yang lebih tersusun bagi memastikan bahasa, adat dan sejarah komuniti terus dipelajari serta difahami oleh generasi akan datang.

Dengan sokongan yang dizahirkan menerusi lawatan tersebut, pembinaan SAANS Adu Dabaai kekal menjadi agenda bersama dalam usaha memperkukuh pendidikan adat dan kesinambungan warisan masyarakat Anak Negeri di pedalaman Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN