EWON BENDEDICK
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menggesa supaya penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Persekutuan di Sabah dimansuhkan bagi memulihkan tadbir urus pembangunan kampung di bawah kerangka pentadbiran kerajaan negeri.
Ewon ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, baru-baru ini menegaskan pendiriannya menolak penubuhan JPKK Persekutuan di Sabah kerana tidak selaras dengan kerangka pentadbiran luar bandar negeri itu.
Beliau berkata Sabah mempunyai Enakmen Pentadbiran Luar Bandar sendiri yang menjadi asas kepada pengurusan pentadbiran di kawasan luar bandar.
Menurutnya, tadbir urus antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah berkaitan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah undang-undang negeri perlu dipulihkan seperti sebelum ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya pertindihan struktur pentadbiran sekiranya mekanisme Persekutuan diwujudkan tanpa mengambil kira kerangka undang-undang negeri.
Ewon menegaskan bahawa penyelarasan antara kedua-dua peringkat kerajaan perlu berasaskan bidang kuasa yang jelas serta menghormati sistem pentadbiran Sabah.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pengurusan pembangunan kampung dilaksanakan secara teratur dan selaras dengan keperluan masyarakat setempat.



