WARISAN BUSANA LIWAN….Petin (kiri) ketika pengenalan busana tradisional wanita dan lelaki masyarakat Dusun Liwan pada majlis tersebut.
RANAU: Usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Dusun Liwan terus diperkukuh menerusi pelancaran empat busana tradisional etnik itu sempena Majlis Perasmian Penutupan Kursus Sulaman Tradisional di Kampung Sinarut, di sini, baru-baru ini
Empat busana yang diperkenalkan terdiri daripada dua busana wanita, iaitu Sinombayaka Pinolongon Tinali dan Sinombiaka Sinulat, serta dua busana lelaki, Bangkad Sinulat dan Bangkad Tinali.
Majlis itu dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat N.38 Paginatan, Petin Kilau, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman.
Program berkenaan turut menandakan kejayaan 42 peserta mengikuti kursus sulaman tradisional selama kira-kira dua bulan bagi mempelajari dan mengembangkan kemahiran menghasilkan sulaman yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat Dusun Liwan.
Penyelidikan dan dokumentasi busana tradisional yang dilaksanakan oleh tenaga pengajar serta penyelidik motif dan busana tradisional, Agnes J. Tan, bersama pemilik dan pewaris busana di Kampung Sinarut, turut menjadi antara usaha penting untuk merekodkan khazanah budaya berkenaan.
Kampung Sinarut merupakan lokasi kajian ketiga Agnes dalam usaha mengenal pasti, mendokumentasikan dan memperkenalkan keunikan busana tradisional masyarakat Dusun Liwan.
Busana Sinombayaka Pinolongon Tinali, misalnya, pada asalnya dimiliki oleh mendiang Sataing Ambuting sebelum diwarisi Rosinie Siga, manakala Sinombiaka Sinulat pernah dimiliki mendiang Gidi Gundiar sebelum diwarisi Nasiah Dualis.

SULAMAN TANGAN PESERTA…. Peserta kursus memperagakan busana etnik Dusun Liwan hasil sulaman tangan mereka sendiri, diiringi paluan gong.
Pewarisan berkenaan memperlihatkan kepentingan peranan keluarga dan komuniti setempat dalam memastikan busana tradisional terus dipelihara, selain mengekalkan pengetahuan mengenai asal usul serta nilai budayanya untuk generasi akan datang.
Majlis turut menyaksikan peserta kursus memperagakan pakaian etnik hasil sulaman sendiri di atas pentas dengan iringan paluan gong, sekali gus menyerlahkan kreativiti dan kemahiran yang diperoleh sepanjang mengikuti latihan.
Program itu turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional, tayangan montaj, pameran hasil kerja peserta serta penyampaian cenderahati sebagai penghargaan kepada pihak yang menyumbang kepada pelaksanaan program.
Antara tetamu yang hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Wanita KDCA Pusat, Tindarama Angeline Boilis; Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Ranau, Datuk Amisah Yassin; Ketua Daerah Ranau, Dominic Ghani; Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Julian Muslih; serta Pengerusi Majlis Wanita KDCA Ranau, Joaneseh Gani.
Turut hadir Pengerusi Pengelola, Sapilin Mudin dan Ketua Kampung Sinarut, Robby Harry.
Penganjuran program itu diharap dapat memastikan seni sulaman dan keunikan busana tradisional Dusun Liwan terus dipelihara, didokumentasikan dan diwariskan kepada generasi muda, sekali gus memperkukuh penghargaan terhadap identiti serta khazanah budaya tempatan.
Usaha itu selari dengan semangat masyarakat setempat yang membawa ungkapan “Tinungkusan Tokou, Kointutunan Tokou, Karayahan Tinaru”, yang bermaksud “Warisan Kita, Identiti Kita, Kebanggaan Kita.”



