RANAU: Seorang lelaki maut selepas motorsikal yang ditunggangnya terbabas sendiri dalam satu kemalangan jalan raya dekat sini pada hari Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Ranau,DSP Simiun Bin Lomudin memberitahu, kejadian berlaku di Kilometer 27 Jalan Marak-Parak (Kg.Tarawas) Ranau, Sabah pada sekitar jam 10.30 pagi.
“Mayat seorang lelaki yang menunggang motosikal sendirian ditemui Maut di dalam parit berdekatan dengan Timbangan Sawit Kg. Tarawas Ranau oleh orang awam dalam keadaan terhimpit oleh motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki tempatan berumur awal 50-an yang juga merupakan penduduk Kg. Tarawas dipercayai menunggang motosikal dari arah Kg. Perancangan menuju pulang ke rumahnya di Kg. Tarawas.
“Kali terakhir orang kampung terserempak dengan mangsa adalah pada hari sebelumnya, lebih kurang pada jam 11.00 pagi yang mana mangsa ingin pulang ke rumahnya daripada kebun. Kemudiannya mangsa ditemui maut di dalam parit pada keesokan harinya,” katanya.
Menurut Simiun, berdasarkan keadaan mayat mangsa yang sudah mula mereput, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat daripada kemalangan tersebut.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk di bedah siasat bagi mendapatkan punca sebenar kematian mangsa.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi negatif dan sentiasa berhati-hati semasa memandu atau menunggang di atas jalanraya.
“Salurkan sebarang maklumat yang berkaitan dengan kejadian jenayah, kemalangan jalanraya atau apa-apa kejadian melibatkan salahlaku kepada pihak Polis dengan kadar segera,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Simiun meminta mana-mana saksi kejadian diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Syaurin Suhurani ditalian 088-875222 sambungan 280 bagi membantu siasatan.