MOHD RAFI
Labuan: Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Ali Hassan mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya memenangi salah satu daripada 25 kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi sesi 2023-2026.
Mohd Rafi, 45, yang buat kali pertama menawarkan diri untuk jawatan MKT menduduki tangga ke 24 daripada 95 calon yang bertanding jawatan tersebut.
Terdahulu beliau (Mohd Rafi) menzahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut sambil menyifatkan kemenangan beliau bukan kemenangan individu tetapi merupakan kemenangan bersama UMNO Bahagian Labuan.
“Ini jelas apabila saya turun untuk mengenalkan diri calon calon MKT yang dibuat diseluruh negara, ramai yang mengatakan UMNO Labuan mesti diberikan kemenangan….jadi UMNO Labuan itulah yang diiftriraf sebenarnya bukan Mohd Rafi Ali Hassan” katanya berucap dihadapan Ketua Ketua Cawangan dan AJK UMNO Bahagian yang hadir pada majlis kesyukuran beliau di kediamannya di Taman Tan Villa, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan beliau, Datuk Bashir Alias, Naib Ketua Bahagian, Datuk Khalid Ab. Ghani serta ketua-ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian.
Mohd Rafi berkata, untuk memenangi kerusi MKT bukanlah sesuatu yang mudah, ini kerana ramai dikalangan calon yang bertanding merupakan ‘giant killer’ dan penyandang jawatan MKT berbanding diri beliau yang pertama kali mencuba untuk bertanding jawatan itu.
Namun katanya, berdasarkan pengalaman beliau yang berkecimpung selama 20 dalam politik di peringkat nasional sejak tahun 2003 serta pernah menjawat jawatan Setiausaha Politik (Supol) kepada mantan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Setiausaha Agong UMNO ketika itu serta selain mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan UMNO Sabah menjadi salah satu punca beliau mendapat undi untuk jawatan MKT.
Jelas Rafi, keinginan beliau menawarkan diri sebagai calon MKT ialah ingin menyuarakan suara rakyat Labuan yang kecewa apabila melihat banyak keistimewaan Labuan telah hilang khususnya apabila UMNO tewas dalam pilihan raya yang lalu.
‘Inilah niat.. saya kenapa saya menawarkan diri untuk bertanding MKT….. saya mahu menyuarakan kegelisahan rakyat Labuan apabila semakin banyak keistimewaan Labuan telah hilang.
“InsyaAllah saya berjanji isu isu ini menjadi keutamaan saya untuk diangkat dalam mesyuarat MKT nanti supaya keistimewaan Labuan yang telah hilang dikembalikan semula.” katanya.