Johan Solo..Fakhrul (tengah), Naib..Aidil (kiri) dan Belle
RANAU: Mohamad Fakhrul Asyam Hadqeem Masli, pelajar dari Sekolah Kebangsaan Matupang menjuarai Pertandingan Nyanyian Solo Peringkat Zon Timur yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Kebuh Baru, baru-baru ini.
Naib johan dimenangi oleh Muhamad Aidil Mohd Amry dari SK. Nalapak manakala tempat ketiga disandang oleh Belle Queenzy Ronny dari SK. Tampios.
Markah purata yang diperolehi oleh para pemenang ialah 80% (johan) , 76% (naib johan) dan 74% tempat ketiga.
Dalam kategori duet, pasangan Belle Queenzy Ronny dan Valentine Juis dari SK. Tampios turut muncul johan apabila berjaya mendapat purata markah 86%. Naib johan disandang oleh pasangan Mohd. Fakhrul Asyam Haqeem dan Nur Spizatul Syahiera dari SK. Matupang (80.7%) sementara tempat ketiga dimenangi oleh pasangan Adriel Masiul dan Christa Venerra Ubid (80.2%).
Pertandingan tersebut yang melibatkan seramai 22 peserta mewakili ke semua 11 buah sekolah di Zon Timur itu telah diadili oleh 11 orang pengadil dengan menggunakan sistem juri yang diketuai Razwan Garidi.
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum Dan Kesenian), Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Jaminus Agang ketika menyampaikan ucapan aluan perasmian penangguhan majlis tersebut merakamkan ucapan penghargaan kepada Pengelola Pertandingan yang diketuai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Nalapak, Jaipin Kimburon.
“Tahniah kerana berjaya menyusun program yang sangat berjaya ini. Syabas juga kepada semua Guru Besar di Zon Timur atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Kepada yang akan memenangi pertandingan pada hari ini tahniah dan buat persediaan awal untuk ke peringkat daerah. Bagi yang kurang bernasib baik sebenarnya anda pun hebat kerana telah berjaya membina keyakinan diri di atas pentas,” jelas Jaminus.