TAHNIAH….Nazera menerima hadiah daripada Shahidan sambil diperhatikan dif dif kehormat pada majlis itu.
LABUAN: Mantan Pengerusi Pertubuhan Belia dan Bqeliawanis Kampung Bukit Kuda (PBBBK), Mohammadthir Malik dinobat sebagai penerima Anugerah Perdana Belia 2022 kategori individu lelaki peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Sementara itu bagi kategori wanita dimenangi oleh Ahli Parlimen Belia Wilayah Persekutuan Labuan, Nazera Roslan.
Kedua dua mereka menerima hadiah wang tunai RM3,000 sebuah piala dan sijil sempena Majlis Hari Sambutan Belia Negara (HSN) 2022 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, pada Ahad.
Naib johan bagi kategori individu lelaki dimenangi oleh Muhammad Nur Izzat Roshidi, manakala kategori individu wanita dianugerahkan kepada Noor Azila Saftu. Mereka masing masing menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil.
Bagi kategori Pertubuhan Belia johan dimenangi oleh Pertubuhan Belia Beliawanis Bukit Kuda (PBBBK) untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 serta piala dan sijil.
Naib johan kategori Pertubuhan Belia dianugerahkan kepada Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil.
Turut diberi pengiktirafan pada majlis itu ialah Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Perak yang dianugerahkan kepada empat remaja masing masing Ryeann Syah Sophian, Nur Adlina Kamaludin, Nur Mirza Rasyiqah Nizam dan Mohd Khairul Jimrin.
Kesemua mereka menerima sijil Anugerah Perdana Rakan Muda dan pingat.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Sri Dr Shahidan Kassim.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohamad Syahffie Haji Japril dan Presiden Majlis Belia Labuan (MBL), Abdul Mutalib Sahari.