23 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 9, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Misteri kematian Ikan Palian di Tambunan, punca sebenar masih teka-teki

Sebahagian ikan palian yang ditemui mati



TAMBUNAN: Sungai-sungai yang biasanya menjadi habitat ikan palian kini bertukar menjadi lokasi penuh tanda tanya apabila puluhan spesies berharga itu ditemui mati secara mengejut di beberapa kampung sekitar daerah ini.

Fenomena ini yang berlaku di Kampung Kuala Monsok, Kampung Bundu Rantai Apin-Apin, Kampung Nountunan Apin-Apin, dan terbaru di Kampung Rompon, mengejutkan penduduk kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Lebih menghairankan, hanya spesies ikan palian, atau lebih dikenali sebagai ikan kelah, yang mati —Manakala spesies ikan lain pula tidak ada yang mati. Tambahan pula, ikan-ikan yang mati ini tidak menunjukkan sebarang kecederaan, kesan racun, atau tanda pencemaran air yang ketara.

Ketua Kampung Kuala Monsok, Dinus Ubud, berkata keadaan itu amat membingungkan penduduk.

“Biasanya ikan palian di sungai ini hidup sihat dan aktif. Walaupun air sungai kadangkala keruh atau ‘kabut’ selepas hujan, ia tidak pernah menjadi masalah kepada ikan-ikan di sini. Tetapi kali ini, banyak ikan mati tanpa sebab yang jelas. Kami bimbang ia menandakan sesuatu yang lebih serius,” ujarnya.

Penduduk Kampung Bundu Rantai, Dr. Christoper Kunjan, turut berkongsi kebimbangannya.

“Kami jumpa ikan terapung sejak awal pagi. Ada yang cuba ambil, tapi kami takut makan sebab tidak tahu puncanya. Ikan palian ini mahal harganya, rugi kalau hilang begitu saja,” katanya sambil menunjukkan beberapa ekor ikan yang telah dibuang ke tebing.

Salah seorang penduduk kampung menunjukan ikan palian yang ditemui mati di sungai

Pegawai Perikanan Daerah Tambunan mengesahkan pihaknya telah menerima laporan dan pemeriksaan awal mendapati kemungkinan besar ikan-ikan itu diserang sejenis virus air. Namun, beliau menegaskan ujian makmal perlu dilakukan bagi mendapatkan kepastian.

“Kami menasihatkan orang ramai agar tidak memakan ikan yang sudah mati dan segera melaporkan kejadian seumpama ini kepada pihak Jabatan Perikanan,” katanya.

Ikan palian merupakan spesies ikan air tawar yang terkenal dengan isi ikan yang pejal dan rasa yang enak. Selain menjadi sumber pendapatan bagi nelayan sungai, ia juga menjadi tarikan ekopelancongan bagi peminat memancing dari dalam dan luar negara.

Kematian mengejut ikan ini bukan sahaja menjejaskan ekosistem sungai, tetapi juga memberi kesan langsung kepada ekonomi penduduk yang bergantung kepada hasil sungai sebagai sumber rezeki.

Penduduk kini menunggu hasil siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian misteri ini. –HK

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN