27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Minggu Integriti beri kesedaran semula penting, perlunya integriti – Isnin

Isnin (dua dari kiri) menerima cendera mata daripada Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Papar, Jalaludin Karim sambil disaksikan oleh Dr. Jamili (tengah).

PAPAR, 8 Julai, 2024: Minggu Integriti dilaksanakan bagi memberi kesedaran semula kepada semua kepentingan dan keperluan adanya integriti dalam diri sebagai penjawat awam dalam pelaksanaan tugasan dan tanggungjawab.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan I, Datuk Isnin Aliasnih berkata, integriti dalam kalangan penjawat awam adalah suatu yang penting dalam memastikan seseorang itu bertindak secara amanah, penuh bertanggungjawab, tidak melibatkan konflik peribadi dalam membuat sebarang tindakan atau keputusan, sentiasa ada sifat telus, akauntabiliti yang tinggi dan sentiasa bersandarkan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Oleh itu, elemen-elemen amalan baik berteraskan nilai murni yang telah digariskan dalam Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 2021-2025 perlu dihayati dan diamalkan oleh semua pihak, terutamanya penjawat awam.

“Sehubungan dengan itu, integriti sewajibnya menjadi pegangan kukuh setiap daripada kita.

“Integriti ini bukan sahaja wajar menjadi amalan dan pakaian kita secara peribadi, sebaliknya mesti diamalkan oleh setiap individu di dalam organisasi.

“Hal ini adalah sangat penting kerana apabila kita mempunyai kesedaran, percaya serta menjadikan integriti sebagai amalan seharian, maka akan wujudlah satu persekitaran kondusif untuk pembudayaan nilai integriti dalam organisasi kita.

“Jika ini berlaku, impaknya amat signifikan sekali. Antara lain yang akan terhasil adalah keberkesanan dan kecekapan dalam sistem penyampaian kita dan seterusnya akan meningkatkan produktiviti organisasi kita,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Minggu Integriti Kementerian (MIK) 2024 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan di Dewan Terbuka Pantai Manis, di sini, pada Sabtu (6 Julai).

Terdahulu, Isnin yang juga ADUN Klias berkata, pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dicetuskan oleh Ketua Menteri. Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, telah menggariskan Kecemerlangan Tadbir Urus Yang Berintegriti sebagai pemboleh daya transformasi ke arah meningkatkan ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

Di peringkat negeri, usaha-usaha ini diterajui oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau lebih dikenali sebagai BIGoNS dengan memfokuskan kepada:pemantapan tadbir urus integriti dan antirasuah melalui penginstitusian dasar dan polisi;

  • Melebarkan kumpulan sasar kepada seluruh penjawat awam negeri dan lapisan masyarakat;
  • Mempelbagaikan pendekatan yang lebih interaktif, menarik dan berkesan dalam menyuntik penghayatan dan kesedaran membudayakan integriti; serta
  • Memanfaatkan teknologi digital yang mesra pengguna dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan Minggu Integriti Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Tahun 2024 merupakan salah satu inisiatif yang menyumbang kepada pemantapan pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah yang diselaraskan oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Selain itu, usaha ini adalah selaras dengan aspirasi Ketua Menteri agar Sabah menjadi pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah di Malaysia.”

MIK pada tahun ini yang bertemakan ‘Integriti Cerminan Sahsiah Terpuji’ menyaksikan pelbagai program dilaksanakan antaranya, Program Pengukuhan Governans yang dilaksanakan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) bersama Bahagian Integriti KKTP, Program Pengukuhan Integriti yang melibatkan penganjuran pertandingan serta penyediaan video. Antaranya Pertandingan Repositori Terbaik, Penyediaan Video Inisiatif Governans, Integriti dan Antirasuah serta Pertandingan Video Koir Lagu Integriti yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW), Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) serta Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS). Selain daripada itu, turut diadakan Program Pengukuhan Antirasuah yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Putatan dan Program Integrity Social Responsibility (ISR) yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Tuaran.

Program-program yang telah disusun atur ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran, meningkatkan pemahaman serta menyebarluaskan kepentingan integriti khususnya kepada semua kakitangan agensi di bawah Kementerian.

“Kita berharap agar program-program ini dapat membentuk warga kerja yang lebih beretika dan menerapkan nilai-nilai integriti dalam menjalankan tugas serta agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Saya difahamkan dan dimaklumkan bahawa penyertaan bagi pertandingan daripada agensi dan PBT adalah sangat baik dan memberangsangkan. Saya ucapkan tahniah dan saya amat menghargai usaha anda semua dalam menyediakan video penyertaan untuk menjayakan Minggu Integriti Kementerian (MIK) pada tahun ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan dan mengajak kepada semua agar bersama-sama berusaha untuk menjauhi rasuah dan sama-sama menuju ke arah sifar rasuah di kalangan warga kerja Kementerian, agensi di bawah kementerian dan juga PBT.

Hadir sama Setiausaha Tetap, Datuk Dr. Jamili Nais, Pegawai -pegawai Eksekutif serta kakitangan kementerian.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN