KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memutuskan untuk membenarkan 10 lagi jenis operasi dan aktiviti bermula Isnin depan (20 September)
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan hari ini berkata, operasi dan aktiviti ini akan hanya dibenarkan apabila prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 Negeri Sabah telah dikemaskini dan diwartakan.
Beliau berkata, 10 operasi dan aktiviti yang akan dibenarkan adalah seperti berikut:Â
i Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka (outdoor) dan tertutup (indoor) dibenarkan kepada individu telah lengkap divaksin.
ii Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, Zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara individu / berkumpulan di gimnasium atau pusat kecergasan yang sama dengan mematuhi 50% kapasiti atau tidak melebihi 30 orang (mana-mana lebih rendah) adalah dibenarkan dengan syarat jurulatih dan peserta telah lengkap divaksin.
iii Aktiviti hiking dibenarkan kepada individu telah lengkap divaksin yang dilakukan secara individu atau berkumpulan yang mematuhi 50% kapasiti kawasan atau tidak melebihi 30 orang (mana-mana lebih rendah).
iv Pusat Latihan Maritim dan Pusat latihan Penerbangan (udara) dan darat dibenarkan beroperasi dengan syarat telah lengkap divaksin.
v Aktiviti kolam memancing dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi-6.00 petang dalam daerah yang sama dengan syarat pekerja dan pelanggan telah lengkap divaksin dengan mematuhi 50% kapasiti atau tidak melebihi 30 orang (mana-mana lebih rendah).
vi Aktiviti kapal persiaran domestik di dalam perairan negeri Sabah dibenarkan dengan 50% kapasiti dengan syarat semua anak kapal/pekerja dan penumpang telah lengkap divaksin. Aktiviti kelab malam dan pub tidak dibenarkan.
vii Mesyuarat secara bersemuka dibenarkan kepada individu yang telah lengkap divaksin dengan 50% kapasiti bilik mesyuarat.
viii Semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja adalah mengikut peratusan pekerja yang telah divaksin.
xi Operasi kilang dan kedai minuman keras dibenarkan dengan syarat pekerja telah lengkap divaksin. Walau bagaimanapun kelab malam, pub dan pusat karaoke tidak dibenarkan.
x Semua IPT di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dibuka secara berperingkat kepada pelajar yang telah lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas lengkap vaksinasi, namun kemasukan sebenar adalah tertakluk kepada kapasiti IPT.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berlata, SOP terperinci beberapa operasi dan aktiviti ini akan dikeluarkan esok, 19 September.