28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Februari 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Memanah antara aktiviti yang disukai Nabi Muhamad SAW: Harun

LUNCURKAN…Disaksikan oleh Ikmal, Ariffin dan yang lain Harun meluncurkan kejohanan tersebut.


OLEH:HAJI MOHD AMIN HAJI MUIN
DAN ABDUL JALIL MADARIN

PITAS: Inisiatif menganjurkan kejohanan sukan memanah oleh satu-satu persatuan atau badan bukan kerajaan bukan sahaja memupuk minat dikalangan masyarakat terhadap sukan itu tetapi turut membuka ruang dan peluang untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda khususnya di daerah Pitas.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Oil dan Gas Development Corporation Sdh Bhd SOGDC, Datuk Harun Haji Ismail berkata, sukan memanah juga bukan sekadar satu aktiviti fizikal semata-mata ianya adalah sukan yang menuntut kesabaran, ketenangan jiwa, ketepatan, daya fokus yang tinggi serta pengawalan yang baik.

Katanya, setiap anak panah yang dilepaskan bukan hanya menguji kekuatan otot dan mata tetapi turut melatih kita dalam aspek mental dan emosi serta dalam konteks pembangunan sahsiah dan jati diri sukan memanah ini mempunyai nilai yang sangat tinggi.

“Sukan memanah juga mendidik kita agar sentiasa fokus pada matlamat, sabar dalam menghadapi cabaran konsisten dalam tindakan satu kualiti yang amat penting dalam kehidupan harian malah memanah juga merupakan satu sukan yang tertua di dunia dan kini dipertandingkan secara profesional termasuk dalam temasya Sukan Olimpik, Sukan SEA, Sukan Paralimpik malah di kejohanan dunia.

Berucap merasmikan Kejohanan Memanah “ King Of Snipers” Terbuka Daerah Pitas anjuran Pitas Archery Club,  Harun yang juga Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS)  menambah, lebih istemewa lagi sukan memanah ini merupakan sukan yang dianjurkan dalam Islam sebagaimana Sabda Baginda Rasullullah SAW bermaksud; Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda” (Riwayat al Baihaqi). Ini menunjukan bahawa aktiviti memanah bukan sekadar sukan rekreasi tetapi juga satu ibadah dan pengukuhan jati diri umat manusia ujarnya.

Dalam hubungan ini katanya beliau  mengalu-alukan lebih ramai penglibatan anak muda dalam sukan ini dan dalam konteks negeri Sabah, negeri ini mempunyai potensi yang cukup besar menerusi lebih banyak program berstruktur seperti Sukma, pembangunan jurulatih dan liga negeri.

“Ini dapat dilihat apabila kerajaan negeri dibawah kepimpinan Ketua Menteri  Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor telah memperuntukan sejumlah RM101.46 juta pada tahun 2025 ini demi pembangunansukan negeri Sabah,”kata Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Pitas itu.

JUARA LELAKI VETERAN…Harun (dua dari kiri) bersama Jali kanan dan Ariffin merakamkan gambar kenangan bersama para pemenang lelaki veteran.



Menurut Harun  dengan sokongan kerajaan negeri ini,  fasiliti latihan yang semakin baik dan minat masyarakat yang berkembang serta potensi untuk mengangkat sukan memanah Sabah ketahap yang lebih tinggi amat terbuka.

Ini terbukti, dalam SAGA X 2023, apabila  Pasukan Kota Kinabalu mendominasi acara recurve lelaki dan wanita atlet seperti Evan Rich Chong Qi Wei menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara recurve lelaki manakala rakan sepasukannya Quik Chern Xin meraih pingat gangsa, manakala pingat perak dimiliki oleh pemanah Hiew Ichin dari daerah Tawau. Sementara itu, acara recurve wanita dimenangi oleh pemanah Faith Fedora Shiu Xiao Min dan Carolyn Chye Hui Yin dari Kota Kinabalu merangkul emas dan gangsa.

Beliau  berharap agar Pitas Archery Club akan terus menjadi penggerak utama dalam memperkasa dan memperluaskan sukan memanah ini di peringkat akar umbi semoga satu hari nanti anak-anak muda dari daerah Pitas khasnya mampu mewakili negeri Sabah dalam arena sukan memanah peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Terdahulu, pengerusi penganjur kejohanan Jali Suntang antara lain berkata, objektif penganjuran ini adalah untuk menghimpunkan para pemanah dari seluruh pelusuk negeri Sabah disamping mengeratkan hubungan silaaturahim serta memartabatkan sukan memanah adalah sukan Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Sebagai pengerusi penganjur kejohanan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Harun Ismail (DHI) diatas sokongan padu dan sumbangan dana  bagi menjayakan penganjuran King OF Sniper Fasa 2 bagi tahun 2025.

Beliau  dengan rendah diri mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta yang hadir iaitu dari Wilayah Persekutuan Labuan, Lahad Datu, Kuala Penyu, Keningau, Tambunan, Ranau, Kimanis, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Pitas sebagai tuan rumah.

Berikut keputusan kejohanan tersebut, terbuka Wanita disandang oleh Monnalisa Janah, kedua Siti Aisah Mohd Said, ketiga Azlinah Talib dan keempat Siti Rahayu Rusmin.

Terbuka lelaki. Dimenangi oleh Rezuaan Japilis, kedua Herwan Mail, ketiga Samego Arsyad dan ke empat jatuh kepada Mohd Firdaus Jahalin.
Bagi kategori Veteran Wanita. Johan Faizah Abdullah, kedua Sunarti Abu, ketiga Nurain Abdullah dan ke empat Shirley Rugain.

Kategori Veteran lelaki. Johan disandang oleh Esmail Maidin, kedua Ismail Mustapha, ketiga Norman Mydin dan ke empat jatuh kepada Ishak Soyoh. Kesemua pemenang membawa balik hadiah berupa piala, wang tunai dan hamper.

Hadir sama, Pegawai Khas Datuk Harun, Tuan Ikmal Atong, Abdul Majit Tarip@ Man, Pegawai Kemajuan Masyarakat  CDO Pitas Ariffin Matasin, semua warga kerja Datuk Harun, warga kerja penganjur dan masyarakat setempat. 
 

 

 
 
 
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN