ADVERTISEMENTspot_img

Meilaura Terus Gah di Pentas Asia

Meilaura terima hadiah selaku pemenang pingat gangsa kategori Women’s Bodybuilding Up To 55kg pada 58th Asian Bodybuilding & Physique Sports Championships 2026 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Oleh: Vitalis G.Bingkasan

KOTA KINABALU: Atlet bina badan wanita Sabah dari Penampang, Meilaura Dora Jimmy meraih pingat gangsa kategori Women’s Bodybuilding Up To 55kg pada 58th Asian Bodybuilding & Physique Sports Championships 2026 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Kejayaan itu melengkapkan hatrik podium buat Meilaura di pentas Asia selepas dua emas berturut-turut kategori dan kejohanan sama sebelum ini, 2024 di Batam, Indonesia dan 2025 di Bangkok, Thailand.

Tahun lalu, Meilaura juga dinobatkan penerima anugerah Most Improved Athlete.

Meilaura berkata, cabaran tahun ini lebih getir terutama selepas dia terpaksa tukar kategori pada saat akhir.

“Kalau diikutkan, saya sepatutnya bertanding kategori Over 55kg tetapi memandangkan penyertaan dalam kategori tersebut kurang, saya terpaksa turun bertanding kategori Up To 55kg,” katanya.

Walaupun bertanding dalam kategori yang berbeza daripada perancangan asal, Meilaura tetap memberikan saingan terbaik sehingga berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk Malaysia. Emas kategori itu dimenangi rakan senegara, Siti Hadjar.

Perjalanan Meilaura di pentas Asia adalah hasil kesungguhan, disiplin dan komitmen yang tinggi.

Kejayaan yang dikecapi setakat ini berkenaan adalah sebahagian daripada pencapaian penting dalam perjalanan beliau sebagai atlet bina badan wanita negara.

Kejayaan Meilaura juga diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai atlet muda Sabah untuk menceburi sukan berprestasi tinggi serta berani membawa nama negeri dan negara ke pentas antarabangsa.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN