CENDERAHATI…. Nazera menyampaikan cenderahati kepada Mohd Rafi sambil diperhatikan Mahanum ( dua dari kanan) dan Yusrie (kiri sekali).
Labuan: Majlis Belia Labuan (MBL) telah berjaya memainkan peranan bukan sahaja dalam mendekati golongan belia tetapi juga membentuk belia menjadi insan yang lebih holistik dan melahirkan belia yang berpotensi sebagai pemimpin khususnya di peringkat akar umbi.
Demikian kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Majlis Belia Labuan (MBL) 2024 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Ahad.
Mohd Rafi yang menjadi penaja majlis tersebut berkata, tidak dapat dinafikan MBL Labuan juga telah memainkan peranan dalam membela dan memperjuangkan nasib belia di pulau ini.
“Belia adalah aset emas yang perlu diberi penghargaan yang tinggi dan diangkat martabatnya untuk masa depan Negara…. Belia merupakan pemimpin masa depan Negara.
“Saya sebagai salah seorang pemimpin di pulau ini amat terharu dengan komitmen yang diberikan oleh MBL kerana mereka telah banyak berjasa dan berkorban masa dalam memartabatkan golongan belia di pulau ini” katanya.
Justeru itu, beliau akan sentiasa menyokong dan membantu apa juga yang diperlukan oleh MBL.
Dalam waktu yang sama beliau akan menyuarakan status MBL yang bertaraf Majlis Belia Kawasan (MBK) untuk diangkat sebagai Majlis Belia Negeri (MBN) selaras dengan status Labuan yang diiktiraf sebagai Wilayah Persekutuan.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diharap dapat melihat dengan serius untuk mengangkat status MBL sebagai sebuah negeri yang bernaung terus dengan Majlis Belia Malaysia” katanya.
Perkara ini katanya, akan beliau suarakan semasa pertemuan beliau dengan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 27 Febuari ini di Putrajaya.
Mohd Rafi berkata, MBL memerlukan peruntukan yang lebih bagi badan itu memperbanyakan program dan aktiviti yang berimpak tinggi.
Sementara itu, Presiden MBL Labuan, Nazera Roslan ketika berucap berkata, majlis itu bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada belia khususnya persatuan dan kelab belia.
Selain itu penghargaan juga turut diberikan kepada agensi dan jabatan kerajaan serta NGO yang telah banyakmembantu dalam menjayakan agenda pembangunan belia di Labuan.
Nazera turut memaklumkan mantan Presiden Belia Labuan yang lepas, Abdul Mutalif Sahari dilantik sebagai Pengerusi Tetap MBL dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail sebagai penaung, manakala Pengarah Jabatan hal Ehwal Korporat Perbadanan Labuan, Mahathir Abdul Hamid di lantik sebagai Penasihat MBL bagi sesi 2024/2025.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mahanum Fauzi, Ahli Parlimen Belia Labuan, Yusrie Mohd Daud dan Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA), Sophian Said.