28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 14, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Mayat warga Pakistan hilang ditemui tertanam di kebun getah



KENINGAU: Misteri kehilangan seorang lelaki warga Pakistan sejak Sabtu lalu terungkai apabila mayatnya ditemui tertanam di kawasan kebun getah di Kampung Kitung, di sini, semalam.

Mangsa, Abdul Hafiz, 30, yang bekerja sebagai peniaga, ditemui lengkap berpakaian bersama kasut, dengan kesan kecederaan pada bahagian belakang kepala dan telinga kanan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, mangsa dilaporkan hilang pada 20 September selepas keluar berurusan di Kampung Meninipir dengan menunggang motosikal Yamaha LC.

“Pada hari sama, pengadu yang juga rakan mangsa gagal menghubunginya. Keesokan harinya, pengadu menerima mesej berserta gambar lokasi terakhir mangsa di Jalan Mangkalias, Tenom.

“Polis yang menjalankan pencarian kemudian menemui sebuah telefon bimbit milik mangsa di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari diteruskan sehingga semalam di Kampung Kitung dengan bantuan rakan-rakan pengadu.

“Hasil pencarian menemui beberapa barangan dipercayai milik mangsa termasuk pakaian, motosikal, sebilah parang serta timbunan tanah baharu berhampiran rumah pekerja kebun getah.

“Pemeriksaan lanjut oleh Unit Forensik menemukan mayat mangsa yang ditanam kira-kira 100 meter dari rumah pekerja ladang,” katanya.

Menurut Yampil, siasatan awal mengenal pasti suspek utama seorang lelaki warga Filipina berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjaga kebun getah di kawasan berkenaan.

“Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan. Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Keningau sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN