SIMSUDIN (empat dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang dan Bakul Makanan simbolik perasmian Jiwa Komuniti Madani@Merdeka.
LABUAN: Masyarakat di negara ini khususnya di Labuan perlu menghormati hak kebebasan bersuara secara adil dan saksama.
Demikian kata Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek ketika berucap merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani @Merdeka yang diadakan di Balai Raya Bukit Kuda baru baru ini.
Beliau berkata setiap individu dalam masyarakat harus menghargai kebebasan bersuara yang mereka miliki dan memastikan kebebasan ini tidak disalahgunakan.
“Pada masa yang sama masyarakat harus menghormati hak dan kebebasan orang lain bagi mewujudkan suasana yang adil dan saksama” katanya.
Sementara itu katanya Program Jiwa Komuniti Madani melambangkan masyarakat yang bersemangat tinggi bersatu padu dan komited untuk mengekalkan kemakmuran negara disamping berusaha untuk mencapai kemajuan yang berterusan.
Simsudin berharap program Jiwa Komuniti Madani bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran dan pamahaman rakyat mengenai kebebasan bersuara tetapi juga memainkan peranan dalam menyokong mengenai dasar dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Program Jiwa Komuniti Madani@Merdeka dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Labuan dengan kerjasama Komuniti Madani Al-Fazza, Komuniti Madani Sri Kembangan Labuan dan JPKK Bukit Kuda.
Hadir sama, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Farahani Mohd Asli, Ketua Komuniti Madani Al-Fazza, Norzizah Gani, Ketua Komuniti Madani Sri Kembangan Labuan, Syairol Sabtu dan Ketua Kampung Bukit Kuda, Zulkiflee Malik.