Mohd Rafi beramah mesra bersama masyarakat Tionghua yang hadir pada program tersebut
LABUAN: Warga Labuan yang berbilang kaum diseru untuk terus mengekalkan perpaduan serta mempertahankan kaharmonian yang sedia ada.
Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, semua pihak perlu mengekalkan semangat perpaduan yang sedia terjalin disamping terus meraikan dan menghargai titik persamaan yang ada dalam kepelbagaian budaya, agama dan adat resam sekaligus menjadi pengukuh kepada perpaduan negara.
“Kita perlu terus eratkan perpaduan dan keharmonian… kita sama sama raikan kepelbagaian perayaan kaum termasuk perayaan Tahun Baru Cina’katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Komuniti Luar Bandar bersama masyarakat Tionghua sempena Santunan Kasih Tahun Baru Cina di Balai Raya Sungai Keling anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS,) Wilayah Persekutuan Labuan, pada Jumaat.
Hadir sama, Pegawai KEMAS Labuan, Gilbert Julian dan Ketua Kampung Sungai Keling, Goh Siew Ling.
Dalam pada itu Mohd Rafi turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada masyarakat Tionghua Kampung Sungai Keling yang sentiasa komited dalam menjayakan aktiviti yang dianjurkan oleh Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Gilbat dalam ucapannya berkata, program Pemerkasaan Komuniti Luar Bandar ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan daya saing kebolehupayaan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
“Program ini juga bukan hanya sekadar inisiatif tahunan tetapi adalah platform penting untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat luar bandar”, katanya.