Ellron menyempurnakan pelepasan para peserta kayuhan basikal
SOOK : Masyarakat harus peka terhadap Etika Kayuhan Basikal agar mereka tahu betapa pentingnya keselamatan semasa melakukan kayuhan di jalan raya.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Alfred Angin berkata, Etika Kayuhan Berbasikal merupakan salah satu perkara yang amat bermanfaat khususnya bagi mereka yang berminat dalam aktiviti sukan berbasikal.
Justeru itu Ellron yang juga yang Ahli Dewan Undangan (ADUN)Sook menyeru agar masyarakat perlulah mengutamakan keselamatan mereka ketika membuat kayuhan di jalan raya.
Ini katanya, bukan sahaja menjamin keselamatan diri sendiri malah nyawa orang lain juga dapat diselamatkan.
“Program yang dianjurkan atas usahasama Kementerian dan Belia dan Sukan Sabah, Bahagian Pedalaman serta bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan ini merupakan satu usaha murni yang amat baik dalam mendidik para penunggang basikal untuk lebih mengutamakan keselamatan dan nyawa mereka ketika membuat kayuhan di jalan raya” katanya kepada media selepas menyempurnakan Bengkel Etika Keselamatan Berbasikal dan Program Kayuhan Etika Berbasikal di Dewan Masyarakat Sook kelmarin.
Katanya, melihat trend terhadap minat berbasikal sekarang ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, dan melihat bahawa program sebegini adalah wajar dilaksanakan memandangkan ada segelintir rakyat kurang sedar akan aspek keselamatan ketika berbasikal di jalan raya.
Program yang berlangsung selama dua hari itu turut menampilkan Ceramah Berkenaan Salah Laku Jenayah, yang mana ini memberikan ruang dan peluang kepada para peserta untuk menambah pengetahuan mengenai kes jenayah, yang mana ilmu pengetahuan ini seharusnya dititikberatkan oleh masyarakat hari ini.
Pada hari pertama diadakan Bengkel Etika Keselamatan Berbasikal dan pada hari kedua berlangsung Program Kayuhan Etika Berbasikal.
Terdahulu Ellron menyempurnakan pelepasan para peserta kayuhan basikal sejauh 20 kilometer yang bermula dari Dewan Masyarakat Sook menuju ke Kampung Malima dan kembali ke garisan penamat di Dewan Masyarakat Sook.
Program Bengkel Etika Keselamatan Berbasikal diisi dengan tiga slot ceramah yang berbeza iaitu Ceramah Berkaitan keselamatan Jalan Raya, Ceramah berkenaan dengan Salah Laku Jenayah dan Ceramah berkenaan Komponen-komponen Basikal.
Program itu disertai 30 orang peserta yang terdiri para peminat sukan berbasikal serta belia yang berasal dari Daerah Kecil Sook.
Sementara itu Program Kayuhan Etika Berbasikal yang menyaksikan penyertaan seramai 136 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian dan Belia Sukan Sabah, Majlis Sukan Negeri Sabah, serta mereka yang mendaftar secara talian dan walk in.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan Sabah, , Pejabat Daerah Keningau, Pejabat Daerah Kecil Sook, Majlis Daerah Keningau, RTM, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.
Program tersebut turut dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap ADUN N.44 Tulid Flovia Ng, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Mansur Asun, Timbalan Setiausaha Tetap 2 KBSS Putera Jali, Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook Paul F. Isidore, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Sook, Tony Talasoy dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Tulid Casmir Silip.