31 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Masyarakat Daerah Keningau Diingatkan Membuang Barangan Elektrik Dan Elektronik Di Rumah E-Waste.

Fawzi (tiga kiri) dan Rafie (tiga kanan) bersama yang hadir merakamkan kenangan selepas melawat Rumah E-Waste tersebut.

KENINGAU: Masyarakat daerah ini dimohon agar dapat membuang sampah jenis barangan elektrik dan elektronik di pusat pengumpulan Rumah E-Waste yang terletak di perkarangan bangunan Majlis Daerah Keningau (MDK).

Pegawai Eksekutif MDK, Mohd Fawzi Abdul Kadir berkata, Majlis Daerah Keningau telah dipertanggungjawabkan untuk mengumpulkan barang-barang elektrik dan elektronik yang dianggap lupus di tempat khas iaitu Rumah E-Waste sebelum dilupuskan di tempat yang dikhaskan.

Katanya, usaha ini adalah bagi mengelakkan daripada tapak pelupusan sampah dipenuhi dengan barangan elektrik dan elektronik yang mana akan menjadi bahan toksik dan mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan manusia dan alam semula jadi termasuk untuk jangka masa panjang.

“Barangan ini juga, apabila kita buang di pelupusan sampah biasa ianya akan mengambil masa yang terlalu lama untuk lupus.

“Jadi apa yang kita buat sekarang ini, kita mengutip dan mengumpulkan mana-mana barangan ini yang sudah dibuang oleh orang ramai dan kita buang di tempat khas yang sesuai untuk pembuangan jenis barangan ini,” jelasnya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Sementara itu bagi, Timbalan Pengerusi Ahli MDK, Rafie Robert menyarankan orang ramai untuk membantu dan memberi sokongan kepada usaha MDK agar dapat menyahut usaha ini demi kebaikan bersama.

“Usaha ini adalah daripada kesedaran kita semua dan tidak hanya terletak di bahu kakitangan MDK demi kebaikan kita bersama pada masa kini dan masa akan datang.

“Sekurang-kurangnya sekecil-kecil usaha kita ini, dapat membantu dalam penjagaan alam sekitar dan kesihatan kita,” jelasnya selepas melawat Rumah E-Waste tersebut.

Tambahnya, sebarang pertanyaan mengenai pusat pengumpulan Rumah E-Waste ini boleh berhubung dengan Majlis Daerah Keningau ditalian 087-341180 / 188.

Terdahulu, Majlis Daerah Keningau juga pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan pengumpulan Household E-Weste iaitu sisa elektrik dan elektronik daripada isi rumah sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2017 peringkat negeri Sabah.-Tamat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN