Haji Yazid (ketujuh dari kiri) bersama Ustaz Mohd Nizam (kelapan dari kiri) bergambar umat Islam di Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor.
KENNGAU: Sebanyak sepuluh Masjid di daerah ini mengadakan Kuliah Magrib serentak pada petang Rabu sempena Maal Hijrah tahun ini.
Pegawai Penyelaras Masjid Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Keningau Ustaz Mohd Nizam Yahya berkata, program tersebut adalah salah satu aktiviti Program Maal Hijrah Peringkat Daerah Keningau yang dianjurkan JHEAINS Daerah ini.
Katanya, masjid-masjid yang terlibat adalah Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, Masjid Al Taqwa, Masjid Pekan Ar Rahim, Masjid Ukkhuwan Tudan Baru, Masjid Ar Rahman Kampung Kauran, Masjid Ar Ridwan Kampung Banjar, Masjid Somad Al Mukhlisin Kampung Bariawa, Masjid Ar Rasyid Kota Ayangan, Masjid Nurul Iman Kampung Meninipir dan Masjid Adzilal Kampung Bayangan.
Katanya, para penceramahnya terdiri daripada Ustaz Mohd Taufiq, Ustaz Mohammad Hakimi, Ustaz Mohd Ikhwan, Imam Malik Ibrahim, Imam Kifli Yasoi, Ustaz Tamrin, Ustaz Abdul Aziz, Ustaz Muhammad Ihsan, Ustaz Jainudin dan Ustaz Muhammad Amir.
“Sebagai Pegawai Penyelaras Masjid JHEAINS Daerah Keningau, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua masjid, khususnya Pengerusi-Pengerusi Masjid yang telah memberikan kerjasama menjayakan program tersebut” katanya.
Sementara itu Pengerusi Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, program yang diadakan amat bersesuian pada sambutan Maal Hijrah.
Ini katanya, kerana ia memberi pengertian yang lebih mendalam dikalangan umat Islam tentang makna Maal Hijrah.
“Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana hari tersebut menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi” katanya.
Katanya, dalam konteks kehidupan umat Islam pada masa ini, semangat Maal Hijrah menuntut umat Islam untuk membuka lembaran baharu dan bangkit menguasai pelbagai disiplin ilmu serta kepakaran selain perlu mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi memajukan daya saing yang berkemahiran tinggi.
“Umat Islam tidak boleh ketinggalan di belakang daripada menguasai bidang keilmuan demi memakmurkan negara” katanya.