CENDERAHATI…. Pengerusi Pusat Austime Labuan, Shafry Mohd Sharif menyampaikan cenderahati yang dihasilkan oleh anak-anak Austime kepada Ras Adiba.
LABUAN:Walaupun ketika ini dianggarkan 600,000 individu yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) telah mendaftar dengan kerajaan, namum terdapat masih ramai lagi ibu bapa yang belum mendaftakan anak istimewa mereka sebagai OKU.
Demikian kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi kepada media selepas mengunjungi Pusat Penjagaan Persatuan Austime Labuan (LACC), di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan,, di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Presiden OKU Sentral, mengingatkan ibu bapa yang mempunyai sikap ‘sindrom penafian’ untuk menerima kenyataan supaya mendaftarkan anak-anak mereka yang mengalami ASD atau masalah berkaitan ketidakupayaan pembelajaran seperti masalah Kecelaruan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) serta disleksia dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Jumlah kanak-kanak yang menghidap Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) dan masalah pembelajaran kini berjumlah 204,000 orang, namun kita percaya jumlahnya mungkin lebih ramai kerana masih ada ibu bapa di luar sana yang belum mendaftarkan anak-anak (istimewa) mereka.
“Saya turut berharap pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) atau badan kebajikan swasta dapat menyokong penubuhan pusat intervensi awal seperti pusat jagaan kanak-kanak dengan Kecelaruan Spektrum Autisme melalui program kolaborasi dengan badan kerajaan yang berkaitan” katanya.
Menurut Ras Adiba terdapat ibu bapa yang tidak dapat menghantar anak-anak autistik dan anak istimewa mereka ke pusat intervensi awal kerana kapasiti yang terhad di pusat berkenaan.
“Oleh kerana bilangan kanak-kanak autistik yang tidak berdaftar mungkin lebih tinggi, kita mesti berusaha meningkatlkan jumlah pusat intervensi awal di seluruh negara, saya berharap sektor korporat dapat memainkan peranan mereka dalam isu ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan serius dalam menangani masalah kanak-kanak bermasalah pembelajaran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai dana untuk membantu anak-anak ini menjalani terapi tertentu agar mereka dapat berdikari.
Mengenai Pusat Autisme Labuan yang mendapat bantuan daripada pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan premis sedia ada ke bangunan lama sekolah antarabangsa Labuan berhampiran pusat bandar, Ras Adiba berharap syarikat korporat tempatan agar memainkan peranan untuk membantu pusat ini dalam semua aspek.
Sementara itu, beliau menyarankan agar majikan memperuntukan sekurang-kurangnya 1 peratus peluang pekerjaan kepada golongan OKU selaras dengan pendekatan institusi pendidikan tinggi tempatan yang sedia menerima pelajar OKU.
Ras Asiba yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Labuan bermula pada Isnin turut mengadakan kenjungan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan dan meninjau Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), JKM Labuan.