31 C
Kota Kinabalu
Isnin, April 21, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

MASIDI SUMBANG RM48,900 SEMPENA BORNEO SCOOTER GATHERING DI RANAU

Masidi sumbang RM48,900 sempena Borneo Scooter Gathering di Ranau

RANAU: Seramai lebih 1,300 orang berkumpul dalam Perhimpunan Penggemar Skuter seluruh Borneo yang telah diadakan di Kompleks Sukan Ranau pada hari Ahad.


Acara yang julung-julung kali diadakan itu telah menarik perhatian dan dihadiri oleh para pengunjung dari merata tempat di Borneo iaitu dari Sabah, Brunei Darussalam dan Sarawak.


Menteri Kewangan Sabah merangkap ADUN Karanaan, Datuk Seri Panglima Hj Masidi Manjun turut hadir untuk merasmikan acara tersebut.


Beliau berkata, program permotoran amat dekat di hati belia dan anak muda di negeri Sabah, dan majlis seumpama ini amat baik sebagai platform peminat motorsikal berjenis skuter selain menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk di sini.


“Semangat begini yang kita mahukan dan saya kagum melihat sokongan yang diberikan oleh semua peserta tidak kira tua atau muda tetap bersama-sama hadir pada hari ini.


“Saya harap kehadiran tuan-tuan dapat menyumbang sedikit sebanyak kepada peningkatan ekonomi orang tempatan di Ranau apabila tuan-tuan berbelanja disini,” kata beliau.

Masidi (tengah) bergambar Bersama para peminat Skuter seluruh Borneo yang telah diadakan di Kompleks Sukan Ranau pada hari Ahad


Masidi turut mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM48,900 kepada penganjur sebagai galakan bagi menganjurkan program pada masa akan datang.


“Melihat sokongan yang ditunjukkan pada hari ini, saya dengan ini meluluskan permohonan peruntukan dana sebanyak RM23,900 yang diminta oleh pihak penganjur.


“Tambahan itu, saya juga turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM25,000 sebagai galakan kepada pihak penganjur untuk mengadakan program pada masa akan datang,” katanya.


Selain itu, Masidi juga berkesempatan mengunjungi pameran Pertandingan Scooter Autoshow sambil berinteraksi dan bergambar bersama peserta-peserta yang hadir.


Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuklah Taklimat daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah, Pertandingan Motor Tercantik, Persembahan Buskter Tempatan, Pertandingan Motor Perlahan, Pertandingan Tolak Motor, Pertandingan Teka Kunci Motor, Lumba Lari Berhelmet dan Cabutan Bertuah berupa Motor Skuter.


Hadir sama, Pengerusi Penganjur, Rudhi Hariyanto Ghazali, Ahli Dewan Belia Sabah Karanaan, Syukri Saridih, Ahli Dewan Belia Sabah (Paginatan), Adib Moin dan orang ramai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN