Oleh: Syukri Saridih
RANAU: Masyarakat Islam di daerah ini diajak menghayati makna di sebalik Sambutan Maulidur Rasul yang disambut pada setiap tahun.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Hj Masidi Manjun, berkata sambutan Maulidur Rasul perlu dihayati agar mendapat kesedaran dan kecintaan dalam menambah kualiti dan personaliti diri dalam mencontohi keperibadian Rasulullah SAW”
“Soal memperingati hari lahir Rasulullah bukan kerana soal agama semata-mata, tetapi ia juga merupakan sanjungan kita kepada kualiti kepimpinan dan keperibadian seorang tokoh yang menjadi ikutan kepada manusia sepanjang zaman” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul 2021M/1443H peringkat Daerah Ranau, yang bertemakan “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” di Dewan Masyarakat pada Sabtu.
Dari Kiri: Jonathan, Masidi dan Shahrin
Masidi yang ADUN Karanaan, turut mengingatkan penduduk di daerah ini agar sentiasa berwaspada dengan jangkitan wabak virus COVID-19 yang semakin tinggi di Ranau.
Menurutnya, pihak pengurusan di setiap peringkat harus memainkan peranan bagi membantu mengekang penularan wabak ini.
“Saya meminta semua pihak termasuklah Pihak Penguatkuasa Daerah, JPKK, Ketua Kampung, Ketua Anak Negeri dan Wakil Ketua Anak Negeri haruslah bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan agar tidak ada lagi pelanggaran SOP bagi membolehkan kita membaiki status kita sebagai Daerah yang mempunyai kadar Positif COVID-19 yang tertinggi di Negeri Sabah”
“Ini adalah permintaan saya bukan kerana saya adalah Menteri atau pihak yang menguruskan COVID-19 di Sabah, tetapi kerana kita adalah orang Ranau dan saya sayangkan orang Ranau.
“Jika kita sayang kepada Ranau, Kita harus buktikan selain sayang kepada tempat kita sendiri, kita juga sayang kepada keluarga, anak-anak dan ibu bapa kita.
“Cara kita menunjukkan rasa sayang tersebut adalah dengan memastikan diri kita selamat daripada jangkitan yang berkemungkinan datang daripada diri kita,” ujar Masidi.
Sebahagian masyarakat Islam di sini yang hadir pada majlis itu
Sementara pada majlis itu, Al-Fadil Ustaz Hj Mohd Som Hj Abdul Rahman telah diumumkan sebagai penerima Tokoh Maulidur Rasul 1443H/2021M Peringkat Daerah Ranau, di atas jasa dan sumbangan beliau menabur bakti dalam syiar Islam di Daerah ini.
Pada majlis itu juga, Masidi turut mengumumkan peruntukan khas kepada Badan Dakwah Ranau sebanyak RM20,000 sebagai galakan dan penghargaan atas jasa dan sumbangan kepada usaha Dakwah di Daerah Ranau.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin, Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Samsir, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Jupirin Hj Ruhimin, PPM N.37 Karanaan, Rosdi Ghani, PPM N.38 Paginatan, Hisyamuddin Harun.