DITAHAN….produk hasilan ikan Dried Seafood (Hokkaido Dried Scallops) yang dibawa masuk tanpa permit import ditahan dilapangan terbang Labuan, pada Khamis.
LABUAN: Tindakan sebuah syarikat tempatan membawa masuk 110.23 kg produk hasilan ikan iaitu Dried Seafood ( Hokkaido Dried Scallops) dari Negara Hong Kong tanpa permit import yang sah membawa padah apabila konsainan itu ditahan di Pintu Masuk Lapangan Terbang Wilayah Persekutuan Labuan, pada khamis.
Pengarah MAQIS Wilayah Persekutuan Labuan, Nazrul Azman Mat Rahim berkata,
konsainan itu yang dibawa masuk melalui kargo lapangan terbang ditahan selepas didapati tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh MAQIS.
”Secara keseluruhannya, konsainan seberat 110.23 kg yang di anggarkan bernilai RM62,057.43, ditahan kerana tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh MAQIS” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Nazrul Azman berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau menjelaskan tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian yang masuk ke negara ini.
” Hal ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan” katanya.