Sindin menyampaikan borang keahlian kepada Madius.
KIULU – Mantan calon Parti Progresif Sabah (SAPP) di Kiulu pada Pilihan Raya Umum ke-13, Sindin Gonsobil mendahului penyerahan borang memasuki Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) pada Khamis.
Beliau yang juga bekas Ketua SAPP Bahagian Kiulu antara 300 orang yang menyampaikan borang keahlian kepada Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Penyerahan berlangsung semasa program ramah mesra pemimpin bersama rakyat di Dewan Balabakan Pekan Nabalu di sini.
Program itu juga turut menyaksikan Ketua Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpangan merangkap Ketua Cawangan STAR Pekan Nabalu, Duanis Saimi menyampaikan borang keahlian UPKO.
Madius terima borang daripada Duanis.
Sementara itu, Madius dalam ucapannya memaklumkan seluruh rakyat Sabah perlu bersatu-padu memenangkan parti tempatan Sabah dalam Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri kali ke-16.
“Kita tidak mahu sumber asli negeri kita dijadikan tabung parti tertentu seperti mana yang diakui oleh sebuah parti yang berpusat di Semenanjung Malaysia.
“UPKO dalam Warisan Plus walaupun bekerjasama dengan parti PKR, DAP dan Amanah, tetapi ia berbeza daripada zaman UMNO BN dahulu.
“Kuasa pentadbiran negeri berada di tangan kita sendiri yang dipimpin parti tempatan tanpa perlu merujuk kepada persekutuan seperti kerajaan sebelum ini.
“Justeru kepada semua yang menghantar borang untuk berjuang bersama UPKO, saya ucapkan tahniah dan selamat menyertai parti ini,” kata Madius