Ellron menyampaikan hadiah kepada pasukan Mukim Ansip yang menjuarai kejohanan itu
KENINGAU:Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin menyeru pemain-pemain muda agar memanfaatkan peluang dan mengasah bakat mereka melalui kejohanan-kejohanan sukan bola sepak yang dianjurkan di kawasan ini.
Katanya, mereka perlu mempamerkan penampilan yang terbaik apabila menyertai kejohanan.
“Manfaatkan peluang hari ini untuk mengasah bakat anda, saya melihat banyak bakat boleh diketengahkan dan dilatih agar boleh setanding dengan pemain-pemain di peringkat negeri mahupun kebangsaan” kata Ellron yang merupakan bekas pelari pecut kebangsaan.
Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Sook berkata, selaku Menteri Belia dan Sukan Sabah beliau mengharapkan agar ada pemain ataupun atlit yang mewakili kawasan Pedalaman di negeri ini ke peringkat lebih tinggi iaitu peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain itu Ellron berkata, adanya kepentingan sukan diperkasakan dalam kalangan belia agar mereka turut memberi sumbangan dan peranan dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan penyampaian hadiah pemenang kejohanan bola sepak 11 sebelah lelaki antara mukim tertutup Piala ADUN N.45 Sook dalam kategori juara-juara di Pusat Khidmat DUN N.45 Sook, Kampung Biah Tengah pada Jumaat.
Pada kejohanan yang berlangsung di Padang Penjara Sekolah Henry Gurney itu, Pasukan Mukim Ansip muncul juara setelah menundukkan pasukan Mukim Soo dan Mukim Dalit dalam Kejohanan itu.
Pasukan juara membawa pulang hadia piala dan wang tunai RM 1000 manakala tempat pasukan Mukim Sook yang menduduki tempat kedua dan Mukim Dalit di tempat ketiga masing-masing RM 700 dan RM 500.
Kejohanan tersebut merupakan kesinambungan daripada Kejohanan Bolasepak (9 Sebelah) Antara Mukim yang berlangsung pada awal tahun ini di ketiga-tiga mukim di kawasan DUN N.45 Sook.
Menerusi kejohanan yang diadakan di mukim masing-masing, para pemain dari setiap pasukan akan dinilai berdasarkan bakat dan faktor umur iaitu hanya pemain yang berusia 23 tahun ke bawah sahaja yang akan dipilih mewakili mukim masing-masing.
Selain itu, pasukan daripada ketiga-tiga mukim ini bakal mewakili Sook dalam Karnival Bola Sepak dan Sepak Takraw Piala Menteri Belia dan Sukan Sabah yang bakal diadakan di padang Kompleks Sukan Keningau pada minggu hadapan.