29 C
Kota Kinabalu
Khamis, April 24, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Majlis berbuka puasa secara santai anjuran IPD Ranau berlangsung meriah

SANTAI….DSP Simiun Lomudin berbuka puasa bersama warga kerja IPD Ranau.

RANAU: Majlis berbuka puasa secara santai anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau berlangsung meriah di perkarangan padang bolasepak IPD Ranau dengan penyertaan seluruh warga kerja jabatan itu termasuk ahli keluarga.

Dalam majlis itu, pelbagai juadah berbuka yang disediakan sendiri setiap cawangan dan ahli keluarga seperti ketupat, rendang, ikan bakar, soto serta kuih muih membuka selera hadirin yang hadir.

Dalam ucapan ringkas Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, acara berbuka seperti itu akan mengeratkan lagi tali silaturahim sesama warga kerja IPD Ranau bersama ahli keluarga terdekat.

Acara memanggang ikan untuk juadah berbuka puasa turut diadakan.

“Acara ini mewujudkan keharmonian seluruh warga kerja IPD Ranau dengan rakan setugas dan ahli keluarga. Tidak kira bangsa dan agama, kita saling menghormati dan dapat duduk bersama untuk berbuka puasa”. Katanya.

Dalam masa sama, Simiun turut menasihatkan semua warga kerja IPD Ranau dan keluarga agar sentiasa menjaga kesihatan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dan terhindar dari jangkitan penyakit Covid-19.

Jelasnya, walaupun negara telah beralih kepada fasa endemik dan beberapa kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) telah diberikan, namun perlu peka terhadap persekitaran semasa bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

“Sebagai Pegawai dan Anggota pasukan keselamatan, kita perlu lebih bertanggungjawab dan memainkan peranan agar masyarakat dan keluarga turut mematuhi prosedur-prosedur yang telah ditetapkan kerana virus Covid-19 masih berada dipersekitaran kita”. Tegasnya.

Suasana meriah sepanjang majlis berbuka puasa IPD Ranau.

Sementara itu, tinjauan suasana majlis mendapati, keriangan jelas terpancar dengan hiasan api pelita dan dendangan lagu-lagu hari raya aidilfitri menceriakan persekitaran padang sepanjang majlis berbuka puasa berlangsung.

Para hadirin juga diwajibkan membuat imbasan Kod MySejahtera sebelum masuk ke perkarangan padang untuk berbuka puasa bersama rakan setugas dan ahli keluarga.

Turut hadir dalam majlis itu adalah ASP Jalix Amindang, Ketua Bahagian Pengurusan IPD Ranau, ASP Helvin Ribus, Ketua Cawangan Khas Daerah Ranau serta Pegawai-Pegawai Kanan dan Ketua Polis Balai Ranau dan Kundasang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN