25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Majikan perlu pastikan tempat kerja bebas dadah – James Ratib

MARIA (tengah)….menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seoranh peserta Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD)


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Negeri Sabah, Datuk James Ratib menyarankan para majikan di negeri ini agar menubuhkan Jawatankuasa Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di organisasi masing-masing.


“Kerajaan Negeri amat komited dalam memastikan isu penyalahgunaan dadah ini dapat ditangani secara holistik.


“Maka, saya ingin menyeru semua majikan agar komited dan mengambil perhatian penuh dalam mewujudkan tempat kerja yang kondusif dan selamat.


“Kecemerlangan perkhidmatan dan produktiviti organisasi bergantung penuh kepada komitmen bersama antara majikan dan pekerja. Saya yakin jawatankuasa ini mampu digerakkan segera seterusnya menjadi faktor pelindung kepada organisasi dan pekerja,” kata beliau.


James berkata, beliau berharap agar majikan mampu menjadi faktor pelindung kepada pekerja daripada terjebak dalam masalah penyalahgunaan dadah.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Seminar TEKAD anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah yang diadakan di Sky Hotel, Kota Kinabalu pada hari Rabu, melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Maria David Edick.


Beliau yang juga ADUN Sugut mengambil kesempatan itu untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta yang telah melibatkan diri dalam program berkenaan.


“Saya difahamkan seramai 100 orang peserta hadir daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan, Negeri, Badan Berkanun dan Swasta menjayakan program pada hari ini. Syabas!” ujar beliau.


Sementara itu, beliau berkata, tema “Lebih Baik Cegah” yang dibawakan oleh AADK mencerminkan bahawa kerajaan komited dalam usaha membanteras dadah habis-habisan kerana masalah penagihan dadah tidak harus dipandang enteng.


“Lebih-lebih lagi jika masalah ini merebak di persekitaran kerja kita seharian sehingga membawa kepada persekitaran tempat kerja yang tidak selamat.


“Saya percaya pihak AADK Negeri Sabah telah menerangkan kesan kepada produktiviti kita ditempat kerja sekiranya masalah ini tidak diambil perhatian.


“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan masalah ini ditangani segera. Kita sebagai majikan harus menyedari mengenai kepentingan Program TEKAD ini,” tegas beliau.


Sementara itu, James menambah bahawa perkongsian AADK Negeri Sabah dalam menyampaikan pengetahuan dan kemahiran akan kepentingan pembentukan jawatankuasa yang mengendalikan masalah penagihan dadah di tempat kerja perlu diambil perhatian.


Ini, katanya, ialah bagi memastikan majikan dapat menyelesaikan isu dan masalah pekerja yang terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah melalui penubuhan Jawatankuasa TEKAD di organisasi masing-masing.


“Perkongsian daripada penceramah hari ini membuktikan bahawa pelbagai kesan negatif muncul sekiranya kita gagal menangani masalah penyalahgunaan dadah ini dengan baik.


“Menjadi satu kerugian kepada organisasi jika masalah ini tidak diambil berat kerana ia melibatkan penyampaian perkhidmatan dan pengeluaran produktiviti yang boleh mempengaruhi kecemerlangan organisasi.


“Kepincangan dalam pengurusan kes boleh membawa kepada keruntuhan organisasi,” katanya sambil menabah bahawa penubuhan jawatankuasa ini membari banyak manfaat dan dapat membantu menghindar dari berlakunya pelbagai konflik di tempat kerja.


James berharap agar jalinan kerjasama program itu tidak terhenti di situ sahaja kerana tempat kerja yang kondusif dan selamat membentuk organisasi yang cemerlang dan melahirkan pekerja yang berkaliber.


“Marilah kita bersama-sama menunaikan tanggungjawab kita dalam membantu kerajaan dalam membanteras dadah,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN