27 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

MAIWP bantu nelayan perlukan bot untuk sara hidup

GAMBAR: SERAH…. Ustaz Md Fadzli  (dua kiri) menyerahkan secara simbolik bot  baharu kepada Mohd Salihan.

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan telah  membantu seorang nelayan tempatan  yang memerlukan sebuah bot  untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya.

Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad berkata, MAIWP Labuan telah berusaha untuk membantu nelayan berkenaan selepas perahu yang digunakan menangkap ikan selama ini rosak teruk akibat di pukul angin ribut  pada tahun lalu.

Beliau berkata, nelayan berkenaan  Mohd Salihan Awang Damit, 37,  dari kampung Bebuloh menerima sebuah bot jenis fiber berkualiti tinggi  bernilai RM9,250.00 melalui Skim Bantuan Perikanan Nelayan yang disediakan oleh MAIWP.

Mohd Salihan   yang mempunyai tanggungan seorang  isteri dan enam orang anak  sebelum ini terpaksa meminjam bot abangnya untuk mencari rezeki di laut.

 “ Hari ini kita telahpun menyerahkan sebuah bot nelayan bernilai RM9,250.00 kepada Mohd Salihan  yang telah memohon untuk mendapatkan bantuan bot nelayan, selepas perahu  miliknya rosak teruk dan tidak dapat dibaiki akibat di pukul  ribut yang berlaku tahun lalu”, katanya ketika menyerahkan bot berkenaan di pangkalan Sungai Kinabenua, petang Sabtu.

Ustaz Md Fadzli berharap dengan adanya bantuan bot baharu ini, Mohd Salihan dapat kembali  ke laut untuk mencari rezeki dan seterusnya dapat  mempertingkatkan taraf ekonomi,   selain  dapat meringankan  beban kewangan beliau.

Dalam waktu yang sama Ustaz Md Fadlzi turut mengucapkan terima kasih kepada semua  pembayar zakat yang komited dalam membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat MAIWP.

Sementara itu, Mohd Salihan yang juga penerima bantuan kewangan bulanan MAIWP menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada MAIWP atas bantuan kewangan  yang  disalurkan selama ini termasuk bantuan bot nelayan yang baharu diterimanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN